Panduan Kurangkan Alahan Kehamilan
Saya mengalami alahan yang sangat teruk sepanjang 10 minggu kehamilan. Benarkah terdapat ubat yang mampu mengatasi masalah ini? Jika ada, adakah ubat ini akan memberi kesan terhadap bayi dalam kandungan?
CT, Perlis
Jawapan
Kebiasaannya, wanita yang mengandung akan mengalami alahan dalam trimester pertama (tiga bulan pertama kehamilan). Punca sebenar alahan masih kurang jelas sehingga kini. Kebanyakan penyelidik percaya yang alahan wanita mengandung disebabkan oleh perubahan fizikal dan aras hormon kehamilan yang dikenali sebagai - human chorionic gonadotrophin' (- hcG) yang meningkat. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua, alahan akan beransur-ansur hilang kerana aras hormon tersebut akan berkurangan selepas trimester pertama.
Sekiranya mengalami alahan berterusan selepas trimester pertama, anda dinasihatkan berjumpa doktor pakar untuk mencari punca lain yang menyebabkan alahan tersebut. Ada sesetengah individu akan mengalami alahan yang berlanjutan sehinggalah bersalin walaupun tiada penyebab yang diketahui. Tahap alahan bergantung kepada individu dan ada juga wanita yang bernasib baik tidak pernah mengalami alahan langsung setiap kali hamil.
Tiada ubat spesifik yang perlu diambil bagi mengatasi masalah alahan ini. Secara amnya doktor akan memberikan tip-tip atau nasihat bagi mengurangkan simptom alahan dengan mengamalkan pemakanan yang kerap atau mengambil hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contoh: setiap dua jam) walaupun anda tidak lapar, makan apa sahaja yang anda mahu tapi elakkan daripada mengambil makanan pedas, berlemak dan bergoreng. Jika anda tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas dan elakkan daripada mengambil kafein. Semasa peringkat ini juga seseorang wanita perlu minum air dengan kerap dan banyak sehingga 10 hingga 12 cawan sehari.
Bagi rutin harian pula, anda hendaklah berehat secukupnya kerana alahan akan bertambah buruk apabila anda kepenatan atau mengalami stres. Pada kebiasaannya, pengambilan vitamin mengandung tidak diberikan secara rutin pada peringkat ini kerana mungkin menyebabkan simptom alahan bertambah teruk. Selain itu, doktor juga memberikan ubat tahan muntah (anti-emetik) jika perlu. Anda perlu dimasukkan ke wad jika alahan tersebut teruk dan mengalami simptom dehidrasi (kekurangan air dalam badan).
Simptom ini biasanya dimanifestasi melalui pening-pening, dahaga dan pengeluaran air kencing yang sedikit daripada biasa. Jika anda mengalami simptom-simptom ini, anda memerlukan rawatan dengan segera. Ibu yang mengalami dehidrasi biasanya akan diberi cecair dan suplemen tambahan melalui drip iaitu secara intravena. Ubat yang diberikan tidak akan menjejaskan bayi dalam kandungan.
Kesihatan@Utusan
0 comments:
Post a Comment