Panduan Atasi Suami Miang Keladi

Hampir semua lelaki semula jadinya ‘miang’, maklumlah setiap lelaki normal pasti bersyahwat, yang membezakan adalah mereka yang pandai mengawal sifat itu dek dibatasi pengetahuan agama, menjaga imej di tengah masyarakat dan lain-lain sebab peribadi.

Sifat ini sebenarnya tidak hilang setelah seseorang lelaki itu berkahwin. Nafsunya sentiasa memuncak apabila terpandangkan wanita cantik, apalagi kalau wanita itu melayaninya, dia akan menjadi semakin gatal. Hingga ada ungkapan, ‘kalau tak miang bukanlah lelaki’.

Namun kebanyakan lelaki akan lebih terkawal apabila berumah tangga. Biarpun nafsunya bagai ombak yang sedang menggila, dia tetap ingat akan hukum ALLAH dan siapa dirinya, lalu berjaya mengawal dirinya daripada berbuat perkara-perkara yang tidak baik.

Suami anda boleh terjerumus kepada perbuatan yang lebih 'daring' andainya dia tidak berusaha mendidik dirinya sendiri, lebih-lebih jika pelajar-pelajar perempuan itu memberi ruang atau peluang untuknya terus menggatal. Seorang lelaki yang berpoligami tentunya seorang yang amat kuat soal ini.

Anda tentu faham apa yang saya maksudkan, bukan?

Oleh itu, di bawah ini saya berikan tiga panduan.

i. Seorang lelaki apabila mencecah umur 40 tahun, dia memang sedang macho.

Kalau diibaratkan buah nangka, sekarang nangka itu sedang sempurna masak dan enak kalau dimakan. Kalau diibaratkan kereta, ia bersedia untuk dipecut dengan laju kerana sempurna buatan dan selenggaraannya. Kalau diibaratkan rumah, ia adalah sebuah rumah yang telah sempurna dibina, enak dan selesa untuk didiami. Bermakna dia kacak luar dan dalam. Inilah saatnya seseorang lelaki itu ‘baligh kali kedua’.

Maksud saya, pemikiran, sikap serta prestasinya berulang sebagaimana dia mula-mula baligh pada usia remaja dahulu. Oleh yang demikian, usah terlalu risau, insya-ALLAH apabila usianya melepasi 40-an nanti, dia akan kembali ‘perlahan’. Usia 40 memanglah sedang matang, malah ada ungkapan berbunyi, Life begin at 40.

ii. Bantu suami dengan memberikannya layanan A1.

Tentu dia ada sebab hingga mengahwini anda sedangkan dia sudah ada isteri. Bongkar kelebihan-kelebihan yang dikagumi ini dan pamerkan selalu, moga-moga dia perasan bahawa apa yang diperlukan itu ada pada diri anda, justeru, dia tidak perlu terlalu miang lagi.

Kesilapan kebanyakan para isteri ialah mereka tidak lagi mempamerkan apa-apa yang dikagumi oleh suami terhadap diri mereka dahulu.

Misalnya kerap kusam di rumah, comot, cincai dan tidak mahu menghias diri. Kerap letih pada waktu suami sangat-sangat memerlukannya. Tiada sebab seorang lelaki hendak bersusah payah mencari di luar jika dia mendapat kesemuanya di rumah.

iii. Bawakan suasana orang beriman di dalam rumah tangga.

Kerap membaca al-Quran, kerap bangun solat malam dan kerap membuka rancangan-rancangan agama di radio dan televisyen.

Juga beli buku-buku motivasi keagamaan, saya cadangkan Komplikasi Jiwa Muslim, Membina Unggul Lelaki dan 101 Rahsia Penguat Nurani.

Letakkan sahaja buku-buku ini di atas meja di ruang tamu, jika dia tidak mahu membaca pun, tajuk-tajuk berkenaan cukup memberikan hentakan. Moga-moga usaha ini sedikit sebanyak membuatkannya segan kepada diri sendiri.

Memang nafsu masih menggila tetapi apabila melihatkan anda yang semakin cenderung ke arah keagamaan, timbullah perasaan untuk membuat perubahan diri.

0 comments:

Post a Comment