Panduan Kesihatan: Hubungan kelamin selepas caesarean

Luka caesarean biasanya akan sembuh satu bulan selepas bersalin caesarean. - Gambar hiasan

SAYA baru bersalin tiga bulan yang lepas secara pembedahan caesarean. Bilakah masa yang sesuai untuk melakukan hubungan kelamin?

Rosma, Kedah

Jawapan:

Menyentuh soalan tentang masa yang sesuai untuk mengadakan hubungan kelamin selepas bersalin secara pembedahan caesarean, sebaik-baiknya pastikan darah nifas telah kering dan mandi hadas besar telah dilakukan. Bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman bersalin secara pembedahan, sebenarnya bersalin secara pemdedahan sama seperti bersalin normal iaitu akan ada darah nifas selepas bersalin.

Sewajar dengan hukum Islam, seseorang wanita hendaklah mandi hadas besar apabila darah nifas telah kering sebelum melakukan hubungan kelamin. Luka caesarean biasanya akan sembuh satu bulan selepas bersalin caesarean. Jadi, sebaik-baiknya lakukan hubungan kelamin selepas dua bulan.

Berhubung pertanyaan sama ada hubungan kelamin selepas bersalin caesarean akan sama seperti sebelum mengandung, ia bergantung kepada faktor-faktor seperti perubahan hormon. 

Biasanya, bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi akan menghadapi sedikit masalah disebabkan pengeluaran cecair (pelincir) di faraj yang berkurangan kerana badan lebih fokus kepada pengeluaran hormon prolaktin untuk susu ibu. 

Keletihan menguruskan bayi kecil kadang-kadang meletihkan terutama bagi bayi yang asyik meragam di waktu malam menyebabkan ada ibu-ibu yang tidak cukup tidur. Jadi, sudah tentu hubungan kelamin anda mungkin kurang sama seperti sebelum anda mengandung.

Selain itu, pasti ada yang merasa was-was dan takut luka caesarean akan terbuka atau terasa sakit. Jika luka caesarean telah lebih daripada dua bulan, biasanya tiada masalah. Tetapi jika memang terasa sakit sewaktu hubungan kelamin, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut.

© Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment