Panduan Hubungan Kelamin Yang Selamat

Terdapat salah faham mengenai jangkitan bawaan seksual (STI) yang menimbulkan stigma dalam kalangan masyarakat di negara ini, selain pengetahuan cetek hingga mengakibatkan diri menjadi mangsa.

Faktor penyebaran STI semakin diperkukuhkan akibat sikap ibu bapa yang kebanyakannya enggan memberi penerangan atau didikan mengenai topik seksual kepada anak remaja mereka.

Ini menyebabkan remaja yang berada dalam peringkat usia ‘yang penuh ingin rasa tahu’ mencari dan mendapatkan maklumat yang salah antaranya menerusi Internet.

STI adalah penyakit berjangkit dan merebak melalui hubungan seksual dengan orang yang sememangnya sudah dijangkiti STI.

Kemungkinan orang yang dijangkiti STI juga tidak mengetahui yang mereka mempunyai penyakit berkenaan.

Ia adalah penyakit serius yang memerlukan rawatan. Antara yang tergolong dalam STI adalah HIV, herpes, hepatitis A, hepatitis B dan hepatitis C yang tidak boleh disembuhkan.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita, Ivy Josiah berkata, ibu bapa perlu membimbing dan memberi nasihat kepada anak remaja mereka mengenai hubungan intim selain mendidik mereka untuk menjauhkan diri daripada amalan seks bebas.

Maklumat penuh dan lengkap mengenai seks rambang yang sepatutnya dijauhi perlu diberikan bagi mengelak masalah STI terus berlaku, seterusnya menjejaskan kesihatan diri masing-masing.

“Wanita juga perlu kuat dan tidak membiarkan diri mereka mengikut kehendak teman lelaki yang mahu mengadakan hubungan seks, sebaliknya mengutamakan kesihatan diri sendiri.

“STI menjejaskan kehidupan dan kita perlu mewujudkan persekitaran di mana orang muda boleh bertanya apa saja mengenai hubungan kelamin tanpa rasa ragu-ragu kerana pengetahuan itu dapat memelihara diri mereka,” katanya pada pelancaran kempen kesedaran mencegah penyakit kelamin, Choose2Protect, baru-baru ini.

Kempen itu dianjurkan secara bersama oleh Durex Malaysia, AIESEC Malaysia, Pertubuhan Pertolongan Wanita dan Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia.

Ia satu platform penting untuk kalangan remaja membincangkan mengenai risiko penyakit kelamin serta kesannya kepada mereka sekiranya perlakuan itu tidak dikawal dengan baik.

Menurut Ivy, usaha untuk menghapuskan kitaran jangkitan adalah dengan cara memperkasakan remaja melalui pengetahuan seksual, membabitkan remaja dalam kempen dan meningkatkan kesedaran mereka mengenai perkara itu.

Perhubungan seksual tanpa perlindungan bukan saja boleh menyebabkan kehamilan tidak dirancang, malah ia boleh menyebabkan penyakit bawaan seks terus berleluasa.

“Kempen ini perlu lebih dipertingkatkan pada zaman ini. Dengan kematangan seksual yang lebih awal dan semakin banyak perkahwinan pada usia lewat, ia meningkatkan risiko berlakunya seks sebelum berkahwin.

“Ini seterusnya menyebabkan berlaku pendedahan terhadap penyakit bawaan seks termasuk jangkitan bakteria, virus, parasit dan kulat yang menjejaskan kesihatan diri,” katanya.

Di peringkat global, Dana Populasi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menganggarkan sekurang-kurangnya 500,000 remaja, kebanyakannya wanita muda dijangkiti penyakit kelamin (tidak termasuk HIV) setiap hari. Ini menunjukkan wanita mempunyai risiko empat kali ganda lebih daripada lelaki untuk mendapat jangkitan itu.

Satu kelaziman yang dikesan adalah kebanyakan mereka tidak menyedari mengenai STI memandangkan ia selalunya tidak mempunyai sebarang simptom. Malah, apa yang lebih membimbangkan, majoriti daripada mereka tidak mahu mendapatkan nasihat atau rawatan.

Mengikut kajian yang dijalankan Kesejahteraan Seksual Global Durex 2012, dianggarkan 21 peratus penduduk di negara ini dijangkiti penyakit kelamin.

Lebih membimbangkan, kajian itu juga mendapati 27 peratus remaja negara ini berusia antara 18 hingga 24 tahun tidak begitu arif mengenai cara mengelak dan melindungi diri mereka daripada dijangkiti STI.

Ini kerana penyakit kelamin bukan saja memberi kesan kepada individu, malah turut mendatangkan akibat yang negatif kepada pasangan dan keluarga masing-masing.

Disebabkan STI tidak mempunyai simptom dan sukar dikesan, ia punca paling lazim kepada beberapa jenis penyakit di seluruh dunia dan mempunyai impak merugikan kepada masyarakat, kesihatan dan ekonomi.

Kata Ivy, bagi melindungi anak mereka daripada menjadi mangsa STI, ibu bapa perlu mendidik anak supaya mereka tidak menjadi mangsa kerakusan seksual yang kemungkinan boleh memindahkan STI, antaranya menerangkan mengenai sentuhan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Ibu bapa perlu memberi ruang dan membuka peluang yang selesa untuk anak bertanya apa saja tanpa ada rasa malu termasuk mengenai isu seksual kerana dengan pengetahuan yang diberikan oleh ibu bapa, ia dapat menyelamatkan anak mereka daripada dijangkiti STI,” katanya.

Menurutnya, semakin ramai remaja di bawah umur bereksperimen dengan seks dan perkara itu seharusnya menjadi amaran kepada ibu bapa untuk memberi maklumat supaya anak mereka tidak terbabit dengan perkara itu.

Anak-anak perlu diajar supaya tidak harus terburu-buru dan wanita perlu menghormati diri mereka sendiri dengan tidak tunduk kepada desakan teman lelaki untuk mengadakan hubungan seks.

“Bagi kalangan yang sememangnya menjalani kehidupan seks secara aktif, mereka sepatutnya menggunakan perlindungan seperti kondom kerana impak yang bakal berlaku sekiranya dijangkiti ternyata amat serius,” katanya.

Sumber: Harian Metro




0 comments:

Post a Comment