Panduan Berbulan Madu Secara Berjimat

Tak payah sampai nak pinjam bank semata-mata nak meraikan cinta agung dengan berbulan madu. Kamu masih boleh membawa yang tersayang untuk menikmati masa kamu berdua dengan harga yang rendah. Cuma perlu diingatkan, percutian itu mestilah bajet seperti MURSHID EUNOS cadangkan ini.

Zaman sekarang kalau tidak ada RM30,000 susah nak kahwin. Bukan kerana membazir tapi bagai menjadi adat untuk meraikan saudara-mara, sahabat-handai dan paling penting rakan sekerja yang sudah tentu ingin datang meraikan kita sebagai pengantin baru.

Seperti ramai berpendapat, kahwin itu sekali dan kalau boleh biarlah ia dilakukan dengan sempurna dan menarik. Justeru tiada istilah berjimat dalam majlis perkahwinan kerana semuanya perlu dibayar zaman sekarang. Walaupun untuk majlis kecil sekali pun, si pengantin perlu ada duit.

Selesai semua majlis, komitmen sebagai pasangan pengantin tidak terhenti di situ. Selain memikirkan soal rumah, tanggungjawab sebagai suami isteri dan rutin harian hidup bersama, sudah pasti berbulan madu atau percutian romantis tersenarai sebagai perkara wajib.

Terutamanya anak remaja dan pasangan muda yang sudah tentu akan menjadikan bulan madu itu sebagai satu kewajipan selepas berkahwin. Kononnya inilah hadiah untuk meraikan cinta mereka dan belum tahu lagi bila pula dapat berbulan madu selepas menimang anak.

Justeru soal berbulan madu akan menjadi masalah kepada pengantin jika wang simpanan sudah habis untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Kebiasaannya si lelaki akan pening kepala untuk memastikan percutian bersama isterinya itu menarik.

Perlu diingat, menarik itu tidak semestinya mahal. Masih ada cara lain untuk menikmati keseronokan berbulan madu dengan kos yang rendah. Semuanya bergantung kepada anda untuk melakukan persediaan yang teliti.

Tidak perlu ke luar negara sebenarnya untuk berbulan madu kerana segala-galanya ada di Malaysia. Apa kata langkah pertama, fikir dengan teliti mengenai destinasi yang ingin anda pergi. Jika anda teringin untuk menaiki kapal terbang sekalipun, anda boleh menempah tiket ke Semenanjung atau ke Sabah dan Sarawak.

Kalau betul anda ingin membawa yang tersayang ke luar negara atau destinasi yang perlu menaiki kapal terbang, sudah tentu anda perlu tahu akan rangkaian penerbangan yang menawarkan harga diskaun rendah. Tempahan tiket penerbangan murah ditawarkan perlu ditempah setahun sebelum pemergian.

Dengan cara ini, anda akan dapat menjimatkan kos kewangan dan disimpan untuk perbelanjaan keperluan yang lain.

Perancangan itu penting. Selepas mengenal pasti destinasi yang anda ingin pergi, perlu untuk difikirkan mengenai bajet untuk setiap inci aktiviti di destinasi yang dipilih itu. Pilih destinasi bukan ikut selera mewah anda atau terpengaruh dengan keindahan lokasi itu kerana pertama sekali, anda perlu memikirkan soal perbelanjaan ke sana.

Elakkan waktu puncak untuk bercuti. Pilih tarikh selain dari tarikh cuti sekolah atau cuti awam di Malaysia. Ini kerana waktu ini harga penginapan akan menjadi lebih mahal. Buat tempahan awal kerana kadangkala anda akan mendapat harga promosi untuk tempahan awal penginapan serta pastikan ia digabungkan dengan sarapan pagi atau makan malam. Ini boleh mengurangkan sedikit bajet anda untuk makanan.

Tidak semestinya anda perlu membuat tempahan untuk hotel yang bertaraf lima bintang saja. Cuba untuk mendapatkan hotel yang berdekatan dengan kawasan pelancongan anda tapi masih mempunyai kelengkapan penuh. Hotel butik atau bertaraf tiga bintang memadai untuk anda bersama-sama pasangan, asalkan tidak melebihi bajet.

Seterusnya fikirkan soal pengangkutan. Jika anda mahu berbulan madu di negeri lain yang mempunyai jalan darat, menaiki kenderaan sendiri adalah alternatif yang paling bijak kerana ia akan memudahkan pergerakan anda di sana nanti.

Tapi jika anda memilih untuk menaiki kenderaan awam yang ada, contohnya kereta api, bas atau kapal terbang, kenal pasti tambang dan masa tersedia untuk memastikan anda dapat sampai ke destinasi tujuan. Beli tiket untuk pergi dan pulang sebagai persiapan awal.

Jika anda mahu lebih murah, anda boleh menaiki kenderaan awam seperti bas atau kereta api untuk melancong asalkan anda mampu bertahan berjam-jam di atas jalan. Anda bukan saja banyak berjimat tetapi boleh melihat keindahan di setiap perhentian.

Juga digalakkan untuk membuat tempahan awal dan semak maklumat pada tiket dengan betul untuk pengesahan masa dan tarikh.

Seterusnya, buat pemerhatian teliti kepada pakej percutian yang ditawarkan kerana ia jauh lebih murah dan mudah. Kenapa pakej lebih murah? Kerana tempahan tiket penerbangan merangkumi penginapan, kenderaan dan makanan. Malah, anda tidak perlu risau untuk keluar wang kerana semuanya sudah dibayar awal ketika anda menempah tiket.

Ketika karnival pelancongan diadakan terdapat banyak promosi yang dilakukan oleh pihak hotel atau ejen pelancongan berdaftar. Buat tempahan awal ketika karnival ini atau dapatkan maklumat daripada pihak mereka agar mudah untuk anda hubungi berkenaan maklumat dan pengesahan.

Jangan malu tawar menawar atau dapatkan pakej yang dikhaskan untuk pasangan berbulan madu.

Kemudian beli cenderahati yang tidak terlalu mahal dan mudah untuk dibawa pulang. Senaraikan berapa orang yang anda mahu hadiahkan dengan cenderahati nanti dan beli secara pukal atau banyak kerana peniaga akan mengurangkan harga jika anda beli secara pukal.

Sekali lagi jangan malu untuk menawar harga. Beli cenderahati yang sama dari segi harga agar tidak ada yang tersinggung nanti mengenai perbezaan cenderahati yang anda hadiahkan. Kedai yang hanya menjual cenderahati adalah sangat digalakkan untuk anda kunjungi kerana mereka mempunyai pelbagai pilihan dan menawarkan harga yang lebih berpatutan.

Tip untuk menjimatkan lagi perbelanjaan anda ketika berbulan madu adalah dengan sediakan barangan peribadi anda secukupnya agar tidak habis ketika berbulan madu. Ini untuk memastikan ketika anda melancong, jika anda tidak membawa barangan yang secukupnya, anda perlu membeli di sana dan ini adalah tidak digalakkan kerana harganya lebih mahal.

Sediakan semuanya untuk kuantiti yang kecil dan usah bimbang untuk berkongsi kerana anda mahu berbulan madu dengan si dia, berkongsi adalah lebih romantik dan dalam masa yang sama menjimatkan.

Kemudiannya, apa kata anda bawa bekalan makanan mencukupi yang boleh mengalas perut seperti roti atau semasa berbulan madu. Ini dapat mengurangkan perbelanjaan makanan yang mahal. Selalunya, wang percutian lebih banyak dihabiskan untuk sesi makan-makan.

Bukan semua destinasi mempunyai harga makanan yang murah lebih-lebih lagi jika mereka tahu anda seorang pelancong. Sebaiknya, tempah hotel atau apa saja penginapan yang ada menyediakan dapur. Memasak boleh menjimatkan wang makan anda.

Pilih pertukaran wang asing termurah. Jika anda melancong ke luar negara, elak menukar mata wang anda dalam saat terakhir. Tanya pendapat rakan di mana lokasi ejen tukar mata wang asing yang boleh memberi pertukaran yang baik dan menguntungkan sebelum anda berlepas.

Paling penting, jangan membawa terlalu banyak beg kerana ia akan meningkatkan kos bayaran untuk barangan anda. Sebaiknya, bawa barang yang penting saja.

Metro

Panduan Merawat Luka Akibat Melecur

Pengenalan

Melecur merupakan kecederaan biasa yang mudah di cegah. Melecur mudah berlaku akibat kecuaian. Kecederaaan akibat melecur biasanya berlaku ke atas kanak-kanak kerana sifat ingin tahu dan gerakan motor yang belum matang.

Sebab-sebab biasa melecur boleh berlaku ialah:

Lepuhan akibat daripada air panas atau cecair masakan. Objek panas seperti sterika, dapur. Haba daripada minyak masak yang terlampau panas, percikan api. Kebakaran bahan kima yang menghakis. Kebakaran elektrik seperti bermain dengan plug elektrik,sambungan wayar dan soket yang terdedah. Terdedah terlalu lama kepada pancaran cahaya matahari.

Tanda dan gejala

Melecur terbahagi kepada :

Permukaan Kulit 

Ia hanya melibatkan permukaan kulit sahaja. Kulit menjadi merah dan sakit, tetapi tiada gelembung.

Kulit Dalam 

Ia melibatkan lapisan luar kulit. Selain kulit menjadi merah, panas atau sakit, kulit juga melepuh.

Keseluruhan Kulit 

Ia melibatkan semua lapisan kulit termasuk tisu dalaman kulit. Kulit kelihatan pucat, keras dan menggelupas. Ia tidak menyakitkan dan mungkin terdapat kerosakan pada salur saraf.

Terbakar Kulit Dalam

Komplikasi

Komplikasi yang serius boleh berlaku sekiranya sebahagian besar permukaan kulit melecur dan melibatkan bahagian dalaman kulit :

Jangkitan - demam, bernanah, sakit yang teruk dan kulit menggelembung. Komplikasi jangka panjang ialah terjadinya parut.

Rawatan


  • Jika sebahagian kulit sahaja yang melecur(kurang daripada saiz tapak tangan), ia boleh dirawat di rumah.
  • Lucutkan pakaian yang ketat dan barang hiasan dengan berhati-hati. Siram kawasan yang melecur di bawah aliran air selama lebih kurang 15 minit. 
  • Sapukan krim atau losyen yang sesuai. 
  • Jangan sesekali menggunakan minyak gris, mentega, minyak rambut atau ubat gigi yang mana ianya boleh menyebabkan jangkitan. 
  • Minum ubat paracetamol (sirap) untuk mengurangkan kesakitan. 
  • Jangan pecahkan gelembung. Sekiranya ia pecah, biarkan sahaja. 
  • Anda perlukan imunisasi untuk menghalang tetanus. Dapatkan khidmat doktor.


Rawatan lanjutan di hospital perlu diambil sekiranya :


  • Keseluruhan kulit terbakar. 
  • Kulit yang melecur melebihi saiz tapak tangan mangsa. 
  • Jika ia melibatkan bahagian mulut, tekak, mata, telinga, muka atau kawasan kelamin. 
  • Melecur disebabkan bahan-bahan kimia. 
  • Melecur akibat renjatan elektrik. 
  • Terjadi kepada kanak-kanak yang mempunyai alahan.


Ikut arahan bagi tahap melecur dan melepuh yang dialami. Balut kawasan yang melecur dan melepuh dengan kain yang bersih atau pembalut. Anak anda memerlukan suntikan tetanus sekiranya belum pernah mendapatkan suntikan tersebut sebelum ini atau suntikan terakhir yang diterima adalah lebih daripada 5 tahun.

Pencegahan


  • Jauhkan kanak-kanak daripada dapur yang panas, air panas dan barang-barang elektrik. 
  • Jangan biarkan kanak-kanak dalam 'baby walker' di kawasan dapur. 
  • Jangan mendukung anak kecil ketika memasak. 
  • Jangan membawa masakan panas ketika anak-anak berada berhampiran. Jauhkan mancis, pemetik api dan rokok daripada kanak-kanak. 
  • Jangan biarkan anak-anak bermain dengan barangan elektrik di rumah. 
  • Jangan biarkan wayar barangan elektrik berjuntai dan simpan sterika panas di tempat yang selamat. 
  • Jangan gunakan alas meja kerana kanak-kanak kecil boleh menariknya jatuh.


Pemulihan

Rawatan urutan kanak-kanak dan rawatan terapi bergantung pada tahap kecederaan. Sesetengan kecederaan memerlukan rawatan seperti pembedahan untuk menampal kulit.

Panduan Guna Pedingin Hawa Ketika Cuaca Panas oleh TNB

TNB dalam satu kenyataan berkata, antara langkah yang boleh diamalkan ialah;

1) Menyelaraskan suhu sistem penghawa dingin di antara 23 hingga 25 darjah selsius serta kerap menukar atau membersihkan penapis pendingin hawa.

2) Menutup semua pintu dan tingkap serta lubang udara bagi memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik selain mencadangkan untuk membuka kipas dan menetapkan masa pendingin hawa untuk ditutup pada waktu malam.

3) Penggantian pendingin hawa yang berusia lebih 10 tahun dengan yang baharu kerana pada tempoh berkenaan unit itu tidak lagi efisien untuk digunakan.

4) Memilih unit yang mempunyai bintang kecekapan tenaga yang paling tinggi kerana peralatan itu lebih cekap berfungsi.

5) Pilih saiz dan jenis yang tepat bagi menepati kehendak yang diperlukan. Penghawa dingin yang besar bukan saja lebih mahal malah menyebabkan bil elektrik lebih tinggi kerana alat pemampatnya perlu berputar dan berhenti secara berulang.

Panduan Kesihatan: Tanda-tanda demam denggi

Apa itu Demam Denggi?

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.
Bagaimanakah penyakit ini merebak?

Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara rantau tropika. Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.

Pemindahan penyakit:


  • Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus denggi.
  • Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 - 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah).
  • Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui ovari).
  • Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum dijangkiti.
  • Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.


Bagaimanakah terjadinya demam denggi?

Vektor demam denggi adalah nyamuk Aedes betina.

Nyamuk yang telah dijangkiti membawa virus denggi di dalam badannya. Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darahnya, maka bermulalah penyakit ini.

Apakah penyebab demam denggi?

Penyakit demam denggi berpunca dari 4 jenis virus denggi yang dipindahkan kepada manusia melalui nyamuk Aedes yang telah dijangkiti.

Pada asasnya terdapat 4 jenis virus denggi iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Semua nyamuk Aedes berupaya bertindak sebagai vektor virus denggi sebelum memindahkannya kepada manusia. Walau bagaimanapun, vektor utama virus ini ialah nyamuk Aedes Aegypti. Vektor lain adalah seperti nyamuk Aedes Albopictus yang merupakan vektor virus denggi di kawasan bandar.

Apakah faktor yang meningkatkan risiko denggi?

Pada asasnya, mereka yang tinggal di kawasan endemik denggi dan terdedah kepada nyamuk Aedes menghadapi risiko dijangkiti demam ini.

Kumpulan yang berisiko tinggi mendapat penyakit denggi ialah:


  • ·Penduduk dan pelawat kawasan endemik denggi.
  • ·Kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah. Penyakit ini menjadi lebih teruk dan sering membawa kematian kepada kumpulan ini.


Bagaimanakah kedudukan penyakit ini?

Kadar insidens demam denggi dan demam denggi berdarah di Malaysia adalah masing-masing 118.3 dan 5.1 bagi setiap 100,000 penduduk. Manakala kadar kematian atau mortaliti demam denggi dan demam denggi berdarah pada tahun 1998 adalah masing-masing 0.22 dan 0.23 bagi setiap 100,000 penduduk.

Insidens global demam denggi telah meningkat dengan mendadak dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kini demam denggi merupakan endemik di lebih 100 buah negara rantau Afrika, Amerika, Mediterranean Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Barat Sebelum tahun 1970, hanya sembilan buah negara mengalami epidemik denggi. Bilangan yang merupakan peningkatan 4 kali ganda di sekurang-kurangnya 41 buah negara dalam tahun 1995. Perangkaan yang lain adalah seperti di bawah . Seramai 2500 juta manusia - iaitu 2/5 penduduk dunia - sekarang ini menghadapi risiko demam denggi. Tanpa rawatan yang bersesuaian, kadar kematian akibat demam denggi berdarah mencapai 15% atau lebih .

Apakah gejala denggi?

Demam denggi ialah sejenis penyakit arboviral yang kompleks merangkumi demam denggi, demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi.

Demam Denggi


  • ·Ciri-ciri klinikal demam denggi berubah-ubah mengikut umur pesakit:
  • ·Bayi dan kanak-kanak mungkin mengalami demam yang sukar dibeza-bezakan beserta dengan kemunculan ruam.
  • ·Orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua mungkin mengalami sama ada sindrom demam yang tidak serius ataupun demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk, ruam dan sakit di belakang mata, otot dan sendi.
  • ·Pendarahan kulit adalah fenomena lazim.
  • ·Kadar kematian amat rendah.
  • ·Penyakit ini lazimnya bermula dengan peningkatan suhu badan yang mendadak, diikuti gejala-gejala lain yang tidak khusus seperti merah muka dan lain-lain gejala demam denggi yang tidak spesifik.
  • ·Rasa tidak selesa di bahagian ulu hati (epigastrik), sensitif di bahagian rusuk kanan dan sakit di bahagian abdomen merupakan fenomena biasa demam denggi berdarah.
  • ·Demam selalunya berterusan selama 2-7 hari dan suhu badan boleh meningkat setinggi 40-41oC dan mungkin diikuti dengan kekejangan dan pendarahan.
  • ·Dalam kes-kes yang sederhana teruk, selalunya semua tanda dan gejala penyakit hilang selepas demam sembuh.
  • ·Pesakit biasanya sembuh secara spontan atau selepas diberi terapi cecair dan elektrolit (ion berasingan seperti natrium, klorida, potasium, bikarbonat dan lain-lain)


Sindrom Renjatan Denggi

Bagi kes-kes yang serius, keadaan pesakit merosot dengan mendadak selepas demam beberapa hari. Tanda-tanda kegagalan peredaran darah dapat dilihat:

Kulit pesakit menjadi dingin, lebam dan padat dengan darah terkumpul, sianosis sirkumoral (circumoral cyanosis) dan pesakit merasa tidak selesa. Seterusnya, melarat ke tahap renjatan yang kritikal.

Renjatan dicirikan oleh denyutan nadi yang lemah dan cepat, tekanan darah rendah (hipotensi)(keadaan ini menurun secara tidak normal), kulit menjadi dingin serta lembap dan terasa tidak selesa. Pesakit yang mengalami renjatan adalah dalam keadaan bahaya dan boleh mengancam nyawa jika rawatan bersesuaian tidak diberikan segera. Jangka masa renjatan adalah pendek. Pesakit mungkin meninggal dunia dalam tempoh 12 - 24 jam atau sembuh dengan cepat selepas diberi terapi antirenjatan.

Apakah komplikasi yang mungkin timbul?

Komplikasi demam denggi ialah :


  • Demam Denggi Berdarah.
  • Sindrom Renjatan Denggi.


Apakah ujian-ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan penyakit ini?

Pemeriksaan darah digunakan untuk membantu dalam diagnosis demam denggi. Kiraan sel platlet yang rendah (trombositopenia) dan kepekatan hematokrit (hemokonsentrasi) yang tinggi lazimnya dikesan

Ujian serologi menawarkan kaedah yang paling cepat dan ringkas untuk mengesahkan diagnosis klinikal demam denggi. Pengasingan virus merupakan kaedah diagnosis yang paling boleh dipercayai.

Apakah rawatan yang diberi untuk demam denggi?

Tiada rawatan khusus untuk demam denggi.

Dalam kes demam denggi dengan atau tanpa renjatan, cecair yang diberi secara oral sudah memadai untuk menggantikan kehilangan cecair badan akibat demam kuat, anoreksia dan muntah-muntah.

Ubat antipiretik mungkin boleh digunakan untuk meredakan demam. Walau bagaimanapun, salisilat (sebatian yang mengandungi analgesik untuk melegakan kesakitan, antipyresis - mengurangkan demam dengan menurunkan suhu badan dan aktiviti anti keradangan seperti aspirin) perlu dielakkan kerana ia diketahui boleh menyebabkan pendarahan. Pesakit perlu diawasi dengan rapi bagi mengesan tanda-tanda awal renjatan.

Untuk pesakit-pesakit sindrom renjatan denggi, penggantian awal dan segera plasma yang hilang dengan plasma, penambah plasma dan/atau larutan elektrolit dan cecair akan menghasilkan kesan yang menggalakkan.

Rawatan bukan farmakologi

Rawatan termasuk:


  • ·Meningkatkan pengambilan cecair.
  • ·Meningkatkan bekalan oksigen.


Pesakit demam denggi perlu berehat dan minum lebih banyak air untuk segera sembuh. Pesakit yang mengalami renjatan ketika demam perlu diberi cecair secara intravena (melalui salur darah vena). Oksigen juga perlu diberikan. Untuk pesakit demam denggi berdarah, penggantian cecair badan yang hilang mungkin mampu menyelamatkan nyawanya. Bagi sesetengah kes, pemindahan darah perlu dilakukan bagi mengawal pendarahan.

Rawatan farmakologi

Tiada ubat khusus bagi merawat demam denggi. Rawatan adalah untuk menghilangkan gejala yang timbul.

Apakah jenis pemantauan yang perlu dibuat?


  • ·Apabila sahaja pesakit disahkan mendapat demam denggi adalah menjadi tanggung jawab doktor yang merawat untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan mengenai perkara ini kerana denggi merupakan penyakit yang perlu dilaporkan. Laporan ini penting supaya tindakan lanjutan seperti di bawah ini dapat dijalankan:
  • ·Kawasan dan persekitaran di mana pesakit disyaki dijangkiti perlu dilakukan pengasapan (fogging) oleh pihak berkuasa.
  • ·Memantau kawasan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes supaya ianya tidak merebak ke tempat lain. Jika tempat pembiakan ditemui pemilik rumah akan didenda.
  • ·Apabila pesakit telah keluar dari hospital, beliau dan ahli keluarganya perlu mengambil langkah-langkah pencegahan dan bertindak untuk mencegah penyakit ini dari berulang. Ini kerana pesakit yang pernah mengalami denggi jika ia mendapat semula penyakit ini, kesannya adalah amat teruk.


Apakah prognosis bagi demam denggi?

Pada umumnya, prognosis bagi demam denggi dan demam denggi berdarah adalah baik jika rawatan sokongan diberi lebih awal.

Adakah terdapat kaedah saringan tertentu atau suntikan untuk denggi?

Malang sekali, vaksin untuk penyakit denggi masih belum ada. Namun begitu, beberapa kemajuan telah dicapai dalam proses penghasilan vaksin yang mampu melindungi manusia dari keempat-empat jenis virus denggi. Produk berkenaan mungkin boleh didapati di pasaran dalam beberapa tahun lagi.

Bagaimana cara untuk mencegah denggi?

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan utama:


  • Perlindungan dari gigitan nyamuk.
  • Elak dari melawat atau berkunjung ke kawasan berisiko tinggi pada siang hari.
  • Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk.
  • Hapuskan nyamuk Aedes dewasa.
  • Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk


Untuk mengelak dari gigitan nyamuk, seseorang itu perlulah mengetahui tabiat makan nyamuk dan menggunakan bahan penghindar nyamuk pada kulit yang terdedah apabila perlu. Pakai pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh kerana ini boleh melindungi dari gigitan nyamuk. Pasangkan jaring nyamuk dan skrin pada tingkap untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah.

Elakkan dari membuat lawatan ke kawasan berisiko tinggi di waktu siang

Jalan terbaik ialah mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan bandar) di siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam. Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja.

Musnahkan tempat pembiakan nyamuk

Cara lain untuk mencegah denggi ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk Aedes membiak dalam tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Anda juga perlu selalu menukar air dalam pasu bunga dan bekas air minum haiwan peliharaan untuk mencegah nyamuk dari membiak. Apa yang anda dan keluarga perlu lakukan ialah:


  • Tutup dengan rapat semua bekas air seperti baldi, bejana air dan tong-tong atau masukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalamnya.
  • Salin air dalam jambangan bunga setiap minggu.
  • Buangkan air dan basuh pengalas pasu bunga setiap minggu.
  • Periksa saluran air hujan (saluran bumbung) setiap minggu dan buang daun-daun kayu atau sampah sarap lain yang menyekat aliran air.
  • Bersihkan persekitaran rumah anda. Buangkan semua bekas atau benda yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong dan botol ke dalam beg plastik dan letakkan dalam tong sampah yang bertutup.
  • Hapuskan nyamuk Aedes dewasa


Anda boleh menggunakan penyembur serangga bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah. Melakukan semburan menyeluruh bahagian rumah. Untuk lebih berkesan, semburan perlulah dilakukan ke seluruh bahagian dalam rumah. Anda juga boleh menggunakan ubat nyamuk untuk mengelakkan anda dan keluarga dari digigit nyamuk.
Adakah terdapat kaedah saringan tertentu atau suntikan untuk denggi?

Malang sekali, vaksin untuk penyakit denggi masih belum ada. Namun begitu, beberapa kemajuan telah dicapai dalam proses penghasilan vaksin yang mampu melindungi manusia dari keempat-empat jenis virus denggi. Produk berkenaan mungkin boleh didapati di pasaran dalam beberapa tahun lagi.


Info daripada :
Unit Vektor, JKNPK