Panduan Membaca Al-Fatihah Elak Solat Tidak Sah

Tahukah anda, semasa solat, wajib kita membaca Al-Fatihah dengan sebutan makhraj yang betul, tajwid yang betul, tartil yang betul, agar solat itu sah. Jika tidak, solat itu tidak sah. Selain rukun qauli yang wajib dipenuhi, iaitu wajib membacanya secara berlafaz, tidak sah solat jika dibaca berbisik, suara angin, atau dalam hati, sekurang2nya kena didengari oleh telinga sendiri, baru sah solat.

Pelik kenapa dah solat, tapi masih rasa tak sempurna, masih buat dosa berterusan, masih tak rasa tenang? Ini antara sebabnya. rasa solat sah, tapi sebenarnya tak sempurna.

Antara kebiasaan kesalahan yang dilakukan orang ramai:

1- Huruf Ba pada Bismillah tidak berbunyi. Nak sebut slow punya pasal, disebut "...Ismillah hirrohma nirrohim"

2- Huruf Hha pedas (ح) pada rahman dan rahim tidak disebut Hha pedas, hanya sebut haa biasa (haa simpul) (ه).

3- Tertukar pada BismilLAH, LAH tu dibaca Lam bertemu Hha pedas (ح), sedangkan Lam bertemu Haa simpul (ـه). *Ingat eja Allah ialah alif lam lam ha

4- huruf Ro baris atas disebut Raa yg sangat jelas aaaa nya. sebutannya Rohman, bukan rahman, rahman ni ejaan rumi je sebagai tanda ro tu baris di atas.

5- Huruf Alif tak disebut semasa baca ayat kedua. "...Lhamdulillah..."

6- Huruf Hha pedas (ح) pada alHAMdu hanya dibaca haa biasa/simpul (ه).

7- ..duLILLAH, tidak disabdukan LIL dengan LAH, hanya baca "Li-lah" sedangkan patutnya sabdu.

8- robbil 'AAlamin, huruf ain (ع) dibaca alif, 'aa jadi aa (ا).

9- Huruf ro tidak disabdukan pada aRRohmaaniRRohim. ramai orang baca "...a-rohmaani-rohim.." ini salah sesangat, sebab itu nama2 Allah. sepatutnya baca ARROHman dan ARROHim. Dan ramai tak baca huruf Hha pedas (ح) tu betul2 pada Ro mati bertemu Hha, cuma baca macam Haa biasa/simpul. ROHH tu macam Ro pedas. Rohhhhhh, pekatkan hhhh tu.

10- Huruf mim pada MAAlikiyau tidak dibaca dua harakat, ramai yg baca 1 harakat "...malikiyau...". Salah.

11- Tidak mensabdukan huruf Dal pada miDDiin, sedangkan patutnya bersabdu.

12- Ni ramai selalu sangat salah, tidak mensabdukan huruf Yaa pada iYYAkanaq buduwaiYYaa. sebutan yang betul ialah IY-YA, bukan I-YA atau EE-YA. Kena tekan sikit kat IY dan panjangnya dua harakat, bukan satu harakat.

13- huruf ain pada iyyakanAQ hanya disebut KANAK. salah. nun mati bertemu ain ya, bukan bertemu kaf.

14- Selalu baca huruf dal dan wau pada buDUWA dengan 2 harakat, sedangkan 1 harakat sahaja. yg betul "...buduwaiyyaa...", bukan "...buDUU waiyya..." atau "....budu WAA iyya..."

15- Huruf ain tak disebut dengan betul masa kanasta'IN. ramai sebut ia sebagai alif, ka nas ta in, ini salah.

16- Pada Ihdinaussiro..., ramai baca nun mati bertemu sin, padahal nun mati bertemu sod. auss pada sebutan NAUS tu kena tekan sikit. Kalau kitab rumi lama, pengarang eja ia sebagai Ihdinaush-shiro. bukan suruh baca naush mati dengan syin, tapi supaya ditekankan sod tu.

17- Sirootolmustaqim.. ramai baca huruf Ro tu hanya 1 harakat, sepatutnya 2 harakat.

18- ...Mustaqim, patutnya QIM, bukan KIM, sebab huruf tu huruf Qof bukan Kaf.

19- Sirootollazi... ramai sebut SI tu sebagai huruf sin, bukan huruf sod, padahal SSI tu patut ditekankan sikit sebab ia huruf sod. Huruf Ro patut panjang 2 harakat, ramai baca 1 harakat. laZI, huruf tu huruf dzai, bukan zzai, huruf dzai lembut bunyinya, di hujung lidah kita di belakang gigi.

20- Na-an'am... ramai sebut AN tu huruf AIN, padahal ianya huruf alif, manakala ada juga sebut 'AM tu huruf alif, padahal ianya huruf ain. ada juga yg sebut ANA'AM. ni salah. jika hadapi kesulitan, dah usaha betulkan masih tak dapat juga, jangan begitu jelas sangat bunyinya.

21- Suka berhenti pada Ghairilmaghduu bi'alaihim. Tak boleh berhenti situ. kalau nak berhenti, henti pada Na an'am ta'alaihim. Pastu sambung nafas baru pada Ghairil maghdu...

22- Pada sebutan yg sama, tapi tak sebut huruf Gha, apabila mim mati bertemu Gha, sepatutnya maghdu, disebut makdu atau maqdu.

23- bi'A laihim, ain disebut alif sedangkan ia huruf ain.

24- Waladdoollin. pada Ladd tu disebut Lam mati bertemu dal, sedangkan ia bertemu dod. Kena tekan sikit pada dod tu. Lebih kurang gini ruminya, "Walaudd". kemudian DOOOLlin tak sampai 6 harakat, sedangkan wajib baca 6 harakat pada huruf dal bertemu sabdu Lam.

dan banyak lagi. ni kesalahan2 biasa. Harap anda ambil iktibar, perbaiki bacaan al-fatihah agar betul dan agar solat sah. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Jika tak dapat mencegah kita, there must be something wrong dengan solat kita.

Wallahu ta'ala a'lam.

Panduan GST: Kaedah mudah faham 'cara orang kampung'
























Don't ask me anything about GST.. Just read the simple explanation below. I'm still doing research about it and read a lot of articles about it..

1. GST akan dilaksanakan pada 2015. GST BUKAN cukai baru, tetapi sejenis cukai menggantikan cukai sedia ada, SST (Sales and Service Tax). 

Cukai GST 6%, SST 10+6%, maka saya nak tanya, mana lebih banyak?

2. Harga barang akan naik, sebab SST tak kena pada setiap barang, GST hampir semua.

Betul. Tapi kena betul-betul faham. Ada barang memang akan naik harga, tapi ada barang akan kekal harga, dan ada barang akan turun harga. Kenapa naik? Dulu tak kena cukai, nanti kena GST. Kenapa turun? Dulu kena SST, selepas ini kena GST. Ingat, GST lebih rendah daripada SST.

3. Tetap akan ada barang yang naik harga.

Betul. Tapi barang yang macam mana? Beg tangan Gucci. Baju ZARA. Semua barang kehendak, bukan keperluan. Semua barang dan perkhidmatan keperluan (beras, minyak, gula, tepung, pengangkutan awam dan sebagainya) TIDAK AKAN DIKENAKAN GST. Maksudnya, yang akan bayar cukai lebih, adalah mereka yang lebih banyak keluar duit pada barang KEHENDAK, dan golongan ini pastinya golongan yang mampu. Maka, cukai GST akan lebih dirasa oleh golongan kaya berbanding golongan pertengahan dan miskin. Maka, adil lah. Anda kaya, anda dapat barang lebih, anda bayar cukai lebih. Tak begitu?

4. Cukai yang dibayar golongan mampu ini, akan membantu menyokong pendapatan negara yang selama ini terlalu bergantung kepada cukai pendapatan (cukai yang diambil daripada gaji anda).

5. Baik bagi subsidi kalau nak tolong orang miskin!

Betul. Tapi mana lebih adil? GST atau subsidi? Kerana subsidi, baik miskin atau kaya, sama-sama merasa. Yang kaya bayar RM2, miskin pun RM2. Tetapi dengan GST, orang kaya beli beg LV, bayar cukai, salur kepada pendapatan negara, kemudian dapat kerajaan beri melalui "subsidi terarah", tak adalah kaya terus kaya.

6. Penipu! Kata 6%, lagi sikit daripada SST, tapi macam mana dapat jana pendapatan negara pula?

Haha. Ha gini. Dengan SST, ramai pihak dalam rantai perniagaan lari daripada cukai, dan akhirnya yang bayar cuma pembeli. Dengan GST, setiap pihak dalam rantai perniagaan, pembekal, pemborong, peniaga, semua perlu bayar cukai. Maka tak terjadi lagi "Tax Evasion", dan tak lah pembeli je yang bayar cukai. Objektif GST untuk menambahbaik kecekapan collection cukai oleh pihak Kastam (bukan LHDN).

Cara mudah untuk memahami GST. Depa tak jelaskan semua ini. Depa cuma beritahu, dengan GST, harga semua naik.

Kalau begitu, tak adalah 90% negara/160 negara dalam dunia ini guna sistem GST. Di Asean hanya Brunei dan Myanmar yang belum gunapakai GST. Kadar GST yang akan dilaksanakan pun competetive 6% saja. Kini, di Thailand & Singapore 7%, Indon, Laos, Australia & Cambodia 10%, Filipina 12%,Vietnam 20% & perbandingan dgn UK pun 20%.

Sumber: Facebook

Panduan GST: Bagaimana cukai ini dikutip?


GST (Goods & Services Tax) atau CBP (Cukai Barang & Perkhidmatan) adalah cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di semua peringkat perniagaan. Cukai tersebut dibayar apabila pengguna berbelanja. GST akan menggantikan Cukai Jualan & Cukai Perkhidmatan (CJP).

Ia bertujuan untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih efektif, efisyen, telus dan mesra perniagaan. GST mula dilaksanakan di negara Peranchis seawal tahun 1950an. Kini, lebih 160 negara telah melaksanakan GST. Di ASEAN, hanya Malaysia, Myanmar dan Brunei sahaja yang masih belum melaksanakan. Malaysia akan melaksanakan GST pada 1 APRIL 2015.

BAGAIMANA GST DIKUTIP?

Kutipan GST melibatkan kutipan di setiap rantaian bekalan dari pengilang, pemborong, peruncit sehinggalah pembeli/pengguna. Setiap kali berlaku transaksi di dalam rantaian bekalan pemborong dan peruncit yang mengutip GST akan menuntut balik input cukai GST yang dikenakan (Pembekalan Berkadar Standard).






* ilustrasi menunjukkan contoh bagaimana kutipan dan tuntutan balik input cukai dengan harga dan nilai jualan.

BAGAIMANA DENGAN PEMBEKALAN BERKADAR SIFAR?

Ini adalah bekalan yang dikenakan cukai yang tertakluk kepada kadar sifar. Perniagaan adalah layak untuk menuntut kredit cukai input dalam memperoleh bekalan ini dan mengenakan CBP (GST) pada sifar kadar kepada pengguna.
















Nota :

  • Dalam contoh di atas, pembekalan oleh pemborong adalah pembekalan berkadar sifar. Tiada CBP dikutip oleh pemborong pada jualan kepada pengguna tetapi dia berhak untuk menuntut semua CBP input ke atas overhead, jentera dan pembungkusan.
  • Bagaimanapun, bagi ilustrasi di atas, input lain diabaikan. Harga akhir pengguna perlu membayar RM 125.00 (tiada CBP).

BAGAIMANA DENGAN PEMBEKALAN DIKECUALIKAN?

Ini adalah pembekalan tanpa cukai yang tidak tertakluk kepada CBP. Perniagaan tidak layak untuk menuntut kredit cukai input dalam memperoleh bekalan ini, dan tidak boleh mengenakan cukai output kepada pengguna.










FAEDAH-FAEDAH GST :
  1. Mengurangkan Kos Perniagaan : Dibawah CJP, peniaga tidak dapat menuntut sepenuhnya cukai yang dibayar ke atas input perniagaan. Namun, dengan GST, peniaga mendapat manfaat kerana boleh mendapatkan semula cukai input ke atas bahan mentah / barang dan perkhidmatan di setiap peringkat perniagaan. Akhirnya kos perniagaan menjadi lebih rendah.
  2. Meningkatkan Pematuhan : CJP mempunyai kelemahan yang menyukarkan aspek pentadbiran cukai. GST pula mempunyai mekanisme yang tersedia menjadikan pentadbiran cukai lebih berkawalan kendiri, sekaligus meningkatkan pematuhan.
  3. Mengurangkan Karenah Birokrasi : Kini urusan lebih mudah kerana tidak perlu lagi untuk memohon kelulusan pengecualian ke atas bahan mentah.
  4. Memberi Kesaksamaan : Kadar GST dikenakan secara sama rata antara perniagaan yang terlibat, sama ada di peringkat pengilangan, pemborong, peruncit atau di sektor perkhdimatan.
  5. Menjadikan Harga Lebih Berpatutan Kepada Pengguna : GST menghapuskan cukai bertindih di bawah CJP. Pengguna akan membayar harga yang lebih berpatutan untuk kebanyakan barang dan perkhidmatan di bawah GST berbanding CJP.
  6. Menjamin Ketelusan : GST adalah lebih telus dari CJP kerana pengguna akan tahu sama ada barang dibeli atau perkhidmatan diperoleh tertakluk kepada cukai dan amaun cukai yang perlu dibayar.

JENIS BARANG / PERKHDIMATAN YANG TIDAK DIKENAKAN GST

Bagi tujuan sosio-ekonomi, barang dan perkhidmatan tertentu tidak dikenakan GST, antaranya :

  • Makanan asas seperti beras, tepung, gula dan minyak masak.
  • Pembelian dan penyewaan rumah kediaman.
  • Jual beli tanah pertanian.
  • Pendidikan.
  • Pengangkutan awam.
  • Perkhidmatan kesihatan.


* Harapan penulis agar maklumat-maklumat di atas yang serba ringkas dapat memberi penerangan secara dasar mengenai GST. Pembaca-pembaca budiman dinasihatkan agar dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan GST di laman-laman sesawang.

Panduan GST: Isu dan pelaksanaannya

Cadangan untuk mengganti sistem cukai jualan dan perkhidmatan kepada cukai konsumpsi yang digelar sebagai GST telah diumumkan pada pembentangan bajet 2005 oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Awalnya ia dicadang untuk dikuatkuasakan bermula 1 hb Januari 2007. Dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan kerajaan, Bajet 2005 mencadangkan penyusunan semula sistem percukaian negara termasuk mengkaji peruntukan yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Ini katanya bertujuan untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih berkesan dan berupaya menjana hasil negara.

GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada. Pada masa ini cukai jualan dikenakan ke atas barangan ketika diimport atau di peringkat perkilangan. Cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu termasuk profesional, hotel dan restoran. GST didakwa sebagai sistem cukai yang lebih komprehensif, efisyen, telus dan efektif. Ia juga diduga akan menambahkan pendapatan cukai tahunan untuk kerajaan. Dalam sebuah reaksi seorang pensyarah perakaunan dari UiTM berpendapat GST tidak membebankan dan akan menambahkan hasil negara.

Pada 29 November 2009 Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataannya telah mendakwa kerajaan akan memperoleh pendapatan cukai tahunan sebanyak RM 1 bilion dari GST. Beliau berkata sebanyak 143 buah negara telah melaksanakan GST. Dalam Asean hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkannya. Ditambah lagi, dikatakan GST akan dapat mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan individual.

Kini negara jiran yang melaksanakan GST adalah Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kadar GST yang diguna oleh negara-negara ini waktu ini ialah Singapura 5%, Thailand 7%, Indonesia 10% (digelar sebagai cukai nilai tambah – VAT) dan Filipina 10%. GST dijangka dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua rang undang-undang pada Mac tahun depan (2010). Ini bermakna cukai itu akan berkuat kuasa sekitar Ogos atau September 2011.

Apa itu GST?

VAT/GST diperkenalkan di Perancis pada 1954 oleh Maurice Lauré, untuk mengganti sistem yang sangat bergantung kepada cukai yang tidak menentu berdasarkan jualan bagi menyeimbang dengan sistem cukai pendapatan yang tidak begitu berkesan.

Kini 138 negara melaksanakan Value Added Taxes (VAT) sementara beberapa negara – terutama US, mengenakan cukai jualan, biasanya cukai pada satu aras sahaja diperingkat runcit. Dalam hamper semua negara cukai-cukai ini adalah sama ada penyumbang terbesar atau penyumabang kedua besar kepada peroleh negara.

GST atau dalam Bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). 

Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.

GST adalah cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. GST dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai. Lazimnya, pembekal atau penjual boleh mendaftar untuk mengutip GST jika jumlah jualan tahunan bagi produk atau perkhidmatan yang dibekal melebihi jumlah tertentu yang ditetapkan.

GST diambil kira dalam setiap tahap urus niaga. Jumlah jualan barangan dan perkhidmatan (dikenali juga sebagai bekalan) merupakan jumlah nilai yang diterima oleh organisasi perniagaan (tidak termasuk GST) ke atas semua aktiviti yang dicukai.

Aktiviti yang dicukai merangkumi aktiviti yang dijalankan secara berterusan. Organisasi perniagaan yang berkenaan hendaklah membekal (atau bersetuju untuk membekal) barangan atau perkhidmatan kepada pengguna sama ada untuk tujuan mendapat untung atau tujuan lain seperti aktiviti perdagangan, pembuatan, kerjaya, persatuan atau kelab.

Harga bekalan yang dijual ditetapkan selepas mengambil kira GST. Organisasi perniagaan juga boleh menuntut kredit cukai bagi setiap GST yang telah dimasuk kira dalam bekalan yang dibeli untuk tujuan mengendalikan perniagaan. Kredit cukai ini dikenali sebagai “kredit cukai input”.
Bekalan yang dikecualikan cukai

Bagaimanapun, barangan atau perkhidmatan yang merupakan keperluan asas tidak dikenakan cukai. Di Australia, umpamanya, barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai termasuk barangan makanan asasi (kecuali makanan tersedia, makanan bawa-balik, snek, alkohol dan minuman ringan), perkhidmatan kesihatan, ubat-ubatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak, utiliti, barangan tertentu yang dibekalkan oleh pertubuhan amal dan agama, dan barangan dan perkhidmatan yang dieksport.

Pelaksanaan GST di negara ini merupakan satu langkah wajar memandangkan kebanyakan negara lain telah melaksanakannya. Di samping itu, jaminan kerajaan untuk mengecualikan cukai tersebut terhadap barangan dan perkhidmatan keperluan asas bertujuan untuk tidak membebankan pengguna berpendapatan rendah di samping mengelak berlakunya inflasi. GST hanya dikenakan kepada barangan atau perkhidmatan mewah yang mampu dibeli oleh pengguna berpendapatan tinggi. Di samping itu perniagaan kecil juga dikecualikan daripada GST.

Ada yang mengsyaratkan jika diuruskan dengan baik dengan kerjasama pelbagai pihak, GST mampu meningkatkan hasil negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Di samping itu, sistem ini juga dapat memastikan setiap perniagaan menyimpan rekod kewangan dengan lebih sempurna. Walaupun pelaksanaan sistem GST dianggap mencabar, tempoh yang selesa sebelum pelaksanaanya membolehkan setiap lapisan masyarakat diberi pengetahuan mengenainya.

Sumber: Penerangan

Untuk kefahaman lanjut, boleh tonton video di bawah:

Panduan Atasi Suami Miang Keladi

Hampir semua lelaki semula jadinya ‘miang’, maklumlah setiap lelaki normal pasti bersyahwat, yang membezakan adalah mereka yang pandai mengawal sifat itu dek dibatasi pengetahuan agama, menjaga imej di tengah masyarakat dan lain-lain sebab peribadi.

Sifat ini sebenarnya tidak hilang setelah seseorang lelaki itu berkahwin. Nafsunya sentiasa memuncak apabila terpandangkan wanita cantik, apalagi kalau wanita itu melayaninya, dia akan menjadi semakin gatal. Hingga ada ungkapan, ‘kalau tak miang bukanlah lelaki’.

Namun kebanyakan lelaki akan lebih terkawal apabila berumah tangga. Biarpun nafsunya bagai ombak yang sedang menggila, dia tetap ingat akan hukum ALLAH dan siapa dirinya, lalu berjaya mengawal dirinya daripada berbuat perkara-perkara yang tidak baik.

Suami anda boleh terjerumus kepada perbuatan yang lebih 'daring' andainya dia tidak berusaha mendidik dirinya sendiri, lebih-lebih jika pelajar-pelajar perempuan itu memberi ruang atau peluang untuknya terus menggatal. Seorang lelaki yang berpoligami tentunya seorang yang amat kuat soal ini.

Anda tentu faham apa yang saya maksudkan, bukan?

Oleh itu, di bawah ini saya berikan tiga panduan.

i. Seorang lelaki apabila mencecah umur 40 tahun, dia memang sedang macho.

Kalau diibaratkan buah nangka, sekarang nangka itu sedang sempurna masak dan enak kalau dimakan. Kalau diibaratkan kereta, ia bersedia untuk dipecut dengan laju kerana sempurna buatan dan selenggaraannya. Kalau diibaratkan rumah, ia adalah sebuah rumah yang telah sempurna dibina, enak dan selesa untuk didiami. Bermakna dia kacak luar dan dalam. Inilah saatnya seseorang lelaki itu ‘baligh kali kedua’.

Maksud saya, pemikiran, sikap serta prestasinya berulang sebagaimana dia mula-mula baligh pada usia remaja dahulu. Oleh yang demikian, usah terlalu risau, insya-ALLAH apabila usianya melepasi 40-an nanti, dia akan kembali ‘perlahan’. Usia 40 memanglah sedang matang, malah ada ungkapan berbunyi, Life begin at 40.

ii. Bantu suami dengan memberikannya layanan A1.

Tentu dia ada sebab hingga mengahwini anda sedangkan dia sudah ada isteri. Bongkar kelebihan-kelebihan yang dikagumi ini dan pamerkan selalu, moga-moga dia perasan bahawa apa yang diperlukan itu ada pada diri anda, justeru, dia tidak perlu terlalu miang lagi.

Kesilapan kebanyakan para isteri ialah mereka tidak lagi mempamerkan apa-apa yang dikagumi oleh suami terhadap diri mereka dahulu.

Misalnya kerap kusam di rumah, comot, cincai dan tidak mahu menghias diri. Kerap letih pada waktu suami sangat-sangat memerlukannya. Tiada sebab seorang lelaki hendak bersusah payah mencari di luar jika dia mendapat kesemuanya di rumah.

iii. Bawakan suasana orang beriman di dalam rumah tangga.

Kerap membaca al-Quran, kerap bangun solat malam dan kerap membuka rancangan-rancangan agama di radio dan televisyen.

Juga beli buku-buku motivasi keagamaan, saya cadangkan Komplikasi Jiwa Muslim, Membina Unggul Lelaki dan 101 Rahsia Penguat Nurani.

Letakkan sahaja buku-buku ini di atas meja di ruang tamu, jika dia tidak mahu membaca pun, tajuk-tajuk berkenaan cukup memberikan hentakan. Moga-moga usaha ini sedikit sebanyak membuatkannya segan kepada diri sendiri.

Memang nafsu masih menggila tetapi apabila melihatkan anda yang semakin cenderung ke arah keagamaan, timbullah perasaan untuk membuat perubahan diri.

Panduan Elak Rasa Takut Pada Waktu Malam

Habis saja menonton cerita atau drama seram, pasti ketakutan mula menguasai diri. Paling dirisaukan adalah diri sendiri sememangnya penakut dan tidak dapat tidur malam apabila ketakutan.

Perasaan takut itu biasanya hadir dari hati atau minda yang selalu fikirkan bayangan ‘kelibat’ yang menakutkan dan menganggap ia sebagai suatu realiti. Hakikatnya, semua itu sekadar permainan imaginasi minda yang dicetuskan kamu.

Percaya atau tidak, rasa takut itu sebenarnya dikawal minda kamu sepenuhnya. Fikiran yang negatif dan berunsur fantasi banyak menyumbang kepada perasaan takut itu muncul secara tiba tiba, lebih-lebih lagi apabila kamu baru saja habis menonton cerita seram.

Ketakutan itu boleh diubah jika kamu berfikiran rasional dan tidak memandang serius sesuatu perkara. Waktu kamu pula boleh terganggu dan lebih buruk lagi apabila kamu sudah bekerja kerana ia boleh merosakkan prestasi dan reputasi di tempat kerja. Ikuti langkah di bawah ini untuk atasi rasa takut.

1. Kenal pasti punca - Kadangkala bunyi bising kerap kedengaran di dapur dan mana-mana sudut rumah. Namun, jika ia berdekatan dengan kamu, seeloknya beranikan diri untuk pergi dan lihat apa punca bunyi itu berlaku. Hakikatnya bunyi pada waktu malam itu biasanya disebabkan binatang perosak seperti tikus ataupun hanya bunyi pintu yang ditolak angin. Ubah persepsi kamu terhadap sesuatu dan langkah ini menjadikan kamu lebih selesa kelak.

2. Buang rasa takut - Apabila habis saja menonton filem seram, pasti kelibat menakutkan akan muncul bermain di fikiran kamu seterusnya membuatkan kamu lebih takut untuk tidur. Perkara itu adalah normal dan kamu patut buang ia jauh-jauh. Apa yang perlu dilakukan ialah berfikir mengenai perkara lain ketika di bilik tidur. Kamu boleh mengenang kenangan manis ataupun memikirkan masa depan bagi menghilangkan rasa takut.

3. Bawa bersama - Jika kamu ada binatang peliharaan di rumah, apa kata bawa si kesayangan ke dalam bilik untuk menemani kamu sepanjang malam. Binatang peliharaan seperti kucing mahupun ‘hamster’ pasti dapat mengalih perhatian kamu dari memikirkan rasa takut. Seeloknya, jika kamu hendak tidur, belai haiwan kesayangan sambil menutup mata kerana ia boleh menenangkan kamu.

4. Dengar muzik - Paling mudah dan berkesan menghilangkan rasa takut ialah dengan mendengar lagu kegemaran sama ada di telefon pintar ataupun radio. Muzik biasanya memberikan impak pada emosi kamu sama ada positif atau negatif. Perlu diingatkan untuk mengelakkan dari mendengar muzik yang sayu dan perlahan kerana ia boleh membuatkan kamu rasa ­sedih dan mengingatkan kamu kembali kepada perasaan takut.

5. Pindah kedudukan - Jika kamu kerap rasa takut disebabkan kedudukan katil yang berhadapan tingkap, apa kata ubah posisi katil kamu pada kedudukan yang jauh dari tingkap. Percaya atau tidak, kebanyakan remaja mula rasa takut akibat memikirkan sesuatu akan muncul di tingkap atau pintu pada waktu malam.

6. Ajak teman - Andai kata kamu tinggal di hostel atau menyewa rumah, ajak teman kamu tidur bersama untuk semalaman. Jika mereka tiada hal lain, ajak mereka berbual sehingga kamu rasa mengantuk. Jika ia tidak berkesan, lakukan sesuatu yang boleh membuatkan kamu mengantuk seperti mendengar muzik ataupun membaca buku.

7. Lakukan senaman - Rasa takut itu berpunca dari diri kamu yang selalu berfikiran negatif dan dipengaruhi kepenatan. Lakukan beberapa senaman yang dapat menyihatkan badan pada waktu malam. Lakukan regangan ataupun yoga untuk menenangkan fikiran kamu supaya boleh fokus pada realiti dan ketepikan rasa takut yang bersifat sementara.

8. Matikan segala alat elektronik - Alat komunikasi seperti televisyen dalam bilik juga menjadi punca kamu rasa takut. Kadangkala kamu membiarkan ia terpasang dan lupa menutupnya. Apabila terjaga dari tidur pada larut malam akibat bunyi bising televisyen, kamu mula rasa takut dan tidak boleh tidur kembali. Oleh itu, biasakan diri untuk matikan suis semua alat elektronik sebelum tidur.

Sumber - Harian Metro

Sebagai orang Islam, eloklah diamalkan membaca ayat Kursi, insyaallah, ianya lebih berkesan!


Panduan Berbulan Madu Secara Berjimat

Tak payah sampai nak pinjam bank semata-mata nak meraikan cinta agung dengan berbulan madu. Kamu masih boleh membawa yang tersayang untuk menikmati masa kamu berdua dengan harga yang rendah. Cuma perlu diingatkan, percutian itu mestilah bajet seperti MURSHID EUNOS cadangkan ini.

Zaman sekarang kalau tidak ada RM30,000 susah nak kahwin. Bukan kerana membazir tapi bagai menjadi adat untuk meraikan saudara-mara, sahabat-handai dan paling penting rakan sekerja yang sudah tentu ingin datang meraikan kita sebagai pengantin baru.

Seperti ramai berpendapat, kahwin itu sekali dan kalau boleh biarlah ia dilakukan dengan sempurna dan menarik. Justeru tiada istilah berjimat dalam majlis perkahwinan kerana semuanya perlu dibayar zaman sekarang. Walaupun untuk majlis kecil sekali pun, si pengantin perlu ada duit.

Selesai semua majlis, komitmen sebagai pasangan pengantin tidak terhenti di situ. Selain memikirkan soal rumah, tanggungjawab sebagai suami isteri dan rutin harian hidup bersama, sudah pasti berbulan madu atau percutian romantis tersenarai sebagai perkara wajib.

Terutamanya anak remaja dan pasangan muda yang sudah tentu akan menjadikan bulan madu itu sebagai satu kewajipan selepas berkahwin. Kononnya inilah hadiah untuk meraikan cinta mereka dan belum tahu lagi bila pula dapat berbulan madu selepas menimang anak.

Justeru soal berbulan madu akan menjadi masalah kepada pengantin jika wang simpanan sudah habis untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Kebiasaannya si lelaki akan pening kepala untuk memastikan percutian bersama isterinya itu menarik.

Perlu diingat, menarik itu tidak semestinya mahal. Masih ada cara lain untuk menikmati keseronokan berbulan madu dengan kos yang rendah. Semuanya bergantung kepada anda untuk melakukan persediaan yang teliti.

Tidak perlu ke luar negara sebenarnya untuk berbulan madu kerana segala-galanya ada di Malaysia. Apa kata langkah pertama, fikir dengan teliti mengenai destinasi yang ingin anda pergi. Jika anda teringin untuk menaiki kapal terbang sekalipun, anda boleh menempah tiket ke Semenanjung atau ke Sabah dan Sarawak.

Kalau betul anda ingin membawa yang tersayang ke luar negara atau destinasi yang perlu menaiki kapal terbang, sudah tentu anda perlu tahu akan rangkaian penerbangan yang menawarkan harga diskaun rendah. Tempahan tiket penerbangan murah ditawarkan perlu ditempah setahun sebelum pemergian.

Dengan cara ini, anda akan dapat menjimatkan kos kewangan dan disimpan untuk perbelanjaan keperluan yang lain.

Perancangan itu penting. Selepas mengenal pasti destinasi yang anda ingin pergi, perlu untuk difikirkan mengenai bajet untuk setiap inci aktiviti di destinasi yang dipilih itu. Pilih destinasi bukan ikut selera mewah anda atau terpengaruh dengan keindahan lokasi itu kerana pertama sekali, anda perlu memikirkan soal perbelanjaan ke sana.

Elakkan waktu puncak untuk bercuti. Pilih tarikh selain dari tarikh cuti sekolah atau cuti awam di Malaysia. Ini kerana waktu ini harga penginapan akan menjadi lebih mahal. Buat tempahan awal kerana kadangkala anda akan mendapat harga promosi untuk tempahan awal penginapan serta pastikan ia digabungkan dengan sarapan pagi atau makan malam. Ini boleh mengurangkan sedikit bajet anda untuk makanan.

Tidak semestinya anda perlu membuat tempahan untuk hotel yang bertaraf lima bintang saja. Cuba untuk mendapatkan hotel yang berdekatan dengan kawasan pelancongan anda tapi masih mempunyai kelengkapan penuh. Hotel butik atau bertaraf tiga bintang memadai untuk anda bersama-sama pasangan, asalkan tidak melebihi bajet.

Seterusnya fikirkan soal pengangkutan. Jika anda mahu berbulan madu di negeri lain yang mempunyai jalan darat, menaiki kenderaan sendiri adalah alternatif yang paling bijak kerana ia akan memudahkan pergerakan anda di sana nanti.

Tapi jika anda memilih untuk menaiki kenderaan awam yang ada, contohnya kereta api, bas atau kapal terbang, kenal pasti tambang dan masa tersedia untuk memastikan anda dapat sampai ke destinasi tujuan. Beli tiket untuk pergi dan pulang sebagai persiapan awal.

Jika anda mahu lebih murah, anda boleh menaiki kenderaan awam seperti bas atau kereta api untuk melancong asalkan anda mampu bertahan berjam-jam di atas jalan. Anda bukan saja banyak berjimat tetapi boleh melihat keindahan di setiap perhentian.

Juga digalakkan untuk membuat tempahan awal dan semak maklumat pada tiket dengan betul untuk pengesahan masa dan tarikh.

Seterusnya, buat pemerhatian teliti kepada pakej percutian yang ditawarkan kerana ia jauh lebih murah dan mudah. Kenapa pakej lebih murah? Kerana tempahan tiket penerbangan merangkumi penginapan, kenderaan dan makanan. Malah, anda tidak perlu risau untuk keluar wang kerana semuanya sudah dibayar awal ketika anda menempah tiket.

Ketika karnival pelancongan diadakan terdapat banyak promosi yang dilakukan oleh pihak hotel atau ejen pelancongan berdaftar. Buat tempahan awal ketika karnival ini atau dapatkan maklumat daripada pihak mereka agar mudah untuk anda hubungi berkenaan maklumat dan pengesahan.

Jangan malu tawar menawar atau dapatkan pakej yang dikhaskan untuk pasangan berbulan madu.

Kemudian beli cenderahati yang tidak terlalu mahal dan mudah untuk dibawa pulang. Senaraikan berapa orang yang anda mahu hadiahkan dengan cenderahati nanti dan beli secara pukal atau banyak kerana peniaga akan mengurangkan harga jika anda beli secara pukal.

Sekali lagi jangan malu untuk menawar harga. Beli cenderahati yang sama dari segi harga agar tidak ada yang tersinggung nanti mengenai perbezaan cenderahati yang anda hadiahkan. Kedai yang hanya menjual cenderahati adalah sangat digalakkan untuk anda kunjungi kerana mereka mempunyai pelbagai pilihan dan menawarkan harga yang lebih berpatutan.

Tip untuk menjimatkan lagi perbelanjaan anda ketika berbulan madu adalah dengan sediakan barangan peribadi anda secukupnya agar tidak habis ketika berbulan madu. Ini untuk memastikan ketika anda melancong, jika anda tidak membawa barangan yang secukupnya, anda perlu membeli di sana dan ini adalah tidak digalakkan kerana harganya lebih mahal.

Sediakan semuanya untuk kuantiti yang kecil dan usah bimbang untuk berkongsi kerana anda mahu berbulan madu dengan si dia, berkongsi adalah lebih romantik dan dalam masa yang sama menjimatkan.

Kemudiannya, apa kata anda bawa bekalan makanan mencukupi yang boleh mengalas perut seperti roti atau semasa berbulan madu. Ini dapat mengurangkan perbelanjaan makanan yang mahal. Selalunya, wang percutian lebih banyak dihabiskan untuk sesi makan-makan.

Bukan semua destinasi mempunyai harga makanan yang murah lebih-lebih lagi jika mereka tahu anda seorang pelancong. Sebaiknya, tempah hotel atau apa saja penginapan yang ada menyediakan dapur. Memasak boleh menjimatkan wang makan anda.

Pilih pertukaran wang asing termurah. Jika anda melancong ke luar negara, elak menukar mata wang anda dalam saat terakhir. Tanya pendapat rakan di mana lokasi ejen tukar mata wang asing yang boleh memberi pertukaran yang baik dan menguntungkan sebelum anda berlepas.

Paling penting, jangan membawa terlalu banyak beg kerana ia akan meningkatkan kos bayaran untuk barangan anda. Sebaiknya, bawa barang yang penting saja.

Metro

Panduan Merawat Luka Akibat Melecur

Pengenalan

Melecur merupakan kecederaan biasa yang mudah di cegah. Melecur mudah berlaku akibat kecuaian. Kecederaaan akibat melecur biasanya berlaku ke atas kanak-kanak kerana sifat ingin tahu dan gerakan motor yang belum matang.

Sebab-sebab biasa melecur boleh berlaku ialah:

Lepuhan akibat daripada air panas atau cecair masakan. Objek panas seperti sterika, dapur. Haba daripada minyak masak yang terlampau panas, percikan api. Kebakaran bahan kima yang menghakis. Kebakaran elektrik seperti bermain dengan plug elektrik,sambungan wayar dan soket yang terdedah. Terdedah terlalu lama kepada pancaran cahaya matahari.

Tanda dan gejala

Melecur terbahagi kepada :

Permukaan Kulit 

Ia hanya melibatkan permukaan kulit sahaja. Kulit menjadi merah dan sakit, tetapi tiada gelembung.

Kulit Dalam 

Ia melibatkan lapisan luar kulit. Selain kulit menjadi merah, panas atau sakit, kulit juga melepuh.

Keseluruhan Kulit 

Ia melibatkan semua lapisan kulit termasuk tisu dalaman kulit. Kulit kelihatan pucat, keras dan menggelupas. Ia tidak menyakitkan dan mungkin terdapat kerosakan pada salur saraf.

Terbakar Kulit Dalam

Komplikasi

Komplikasi yang serius boleh berlaku sekiranya sebahagian besar permukaan kulit melecur dan melibatkan bahagian dalaman kulit :

Jangkitan - demam, bernanah, sakit yang teruk dan kulit menggelembung. Komplikasi jangka panjang ialah terjadinya parut.

Rawatan


  • Jika sebahagian kulit sahaja yang melecur(kurang daripada saiz tapak tangan), ia boleh dirawat di rumah.
  • Lucutkan pakaian yang ketat dan barang hiasan dengan berhati-hati. Siram kawasan yang melecur di bawah aliran air selama lebih kurang 15 minit. 
  • Sapukan krim atau losyen yang sesuai. 
  • Jangan sesekali menggunakan minyak gris, mentega, minyak rambut atau ubat gigi yang mana ianya boleh menyebabkan jangkitan. 
  • Minum ubat paracetamol (sirap) untuk mengurangkan kesakitan. 
  • Jangan pecahkan gelembung. Sekiranya ia pecah, biarkan sahaja. 
  • Anda perlukan imunisasi untuk menghalang tetanus. Dapatkan khidmat doktor.


Rawatan lanjutan di hospital perlu diambil sekiranya :


  • Keseluruhan kulit terbakar. 
  • Kulit yang melecur melebihi saiz tapak tangan mangsa. 
  • Jika ia melibatkan bahagian mulut, tekak, mata, telinga, muka atau kawasan kelamin. 
  • Melecur disebabkan bahan-bahan kimia. 
  • Melecur akibat renjatan elektrik. 
  • Terjadi kepada kanak-kanak yang mempunyai alahan.


Ikut arahan bagi tahap melecur dan melepuh yang dialami. Balut kawasan yang melecur dan melepuh dengan kain yang bersih atau pembalut. Anak anda memerlukan suntikan tetanus sekiranya belum pernah mendapatkan suntikan tersebut sebelum ini atau suntikan terakhir yang diterima adalah lebih daripada 5 tahun.

Pencegahan


  • Jauhkan kanak-kanak daripada dapur yang panas, air panas dan barang-barang elektrik. 
  • Jangan biarkan kanak-kanak dalam 'baby walker' di kawasan dapur. 
  • Jangan mendukung anak kecil ketika memasak. 
  • Jangan membawa masakan panas ketika anak-anak berada berhampiran. Jauhkan mancis, pemetik api dan rokok daripada kanak-kanak. 
  • Jangan biarkan anak-anak bermain dengan barangan elektrik di rumah. 
  • Jangan biarkan wayar barangan elektrik berjuntai dan simpan sterika panas di tempat yang selamat. 
  • Jangan gunakan alas meja kerana kanak-kanak kecil boleh menariknya jatuh.


Pemulihan

Rawatan urutan kanak-kanak dan rawatan terapi bergantung pada tahap kecederaan. Sesetengan kecederaan memerlukan rawatan seperti pembedahan untuk menampal kulit.

Panduan Guna Pedingin Hawa Ketika Cuaca Panas oleh TNB

TNB dalam satu kenyataan berkata, antara langkah yang boleh diamalkan ialah;

1) Menyelaraskan suhu sistem penghawa dingin di antara 23 hingga 25 darjah selsius serta kerap menukar atau membersihkan penapis pendingin hawa.

2) Menutup semua pintu dan tingkap serta lubang udara bagi memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik selain mencadangkan untuk membuka kipas dan menetapkan masa pendingin hawa untuk ditutup pada waktu malam.

3) Penggantian pendingin hawa yang berusia lebih 10 tahun dengan yang baharu kerana pada tempoh berkenaan unit itu tidak lagi efisien untuk digunakan.

4) Memilih unit yang mempunyai bintang kecekapan tenaga yang paling tinggi kerana peralatan itu lebih cekap berfungsi.

5) Pilih saiz dan jenis yang tepat bagi menepati kehendak yang diperlukan. Penghawa dingin yang besar bukan saja lebih mahal malah menyebabkan bil elektrik lebih tinggi kerana alat pemampatnya perlu berputar dan berhenti secara berulang.

Panduan Kesihatan: Tanda-tanda demam denggi

Apa itu Demam Denggi?

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.
Bagaimanakah penyakit ini merebak?

Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara rantau tropika. Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.

Pemindahan penyakit:


  • Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus denggi.
  • Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 - 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah).
  • Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui ovari).
  • Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum dijangkiti.
  • Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.


Bagaimanakah terjadinya demam denggi?

Vektor demam denggi adalah nyamuk Aedes betina.

Nyamuk yang telah dijangkiti membawa virus denggi di dalam badannya. Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darahnya, maka bermulalah penyakit ini.

Apakah penyebab demam denggi?

Penyakit demam denggi berpunca dari 4 jenis virus denggi yang dipindahkan kepada manusia melalui nyamuk Aedes yang telah dijangkiti.

Pada asasnya terdapat 4 jenis virus denggi iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Semua nyamuk Aedes berupaya bertindak sebagai vektor virus denggi sebelum memindahkannya kepada manusia. Walau bagaimanapun, vektor utama virus ini ialah nyamuk Aedes Aegypti. Vektor lain adalah seperti nyamuk Aedes Albopictus yang merupakan vektor virus denggi di kawasan bandar.

Apakah faktor yang meningkatkan risiko denggi?

Pada asasnya, mereka yang tinggal di kawasan endemik denggi dan terdedah kepada nyamuk Aedes menghadapi risiko dijangkiti demam ini.

Kumpulan yang berisiko tinggi mendapat penyakit denggi ialah:


  • ·Penduduk dan pelawat kawasan endemik denggi.
  • ·Kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah. Penyakit ini menjadi lebih teruk dan sering membawa kematian kepada kumpulan ini.


Bagaimanakah kedudukan penyakit ini?

Kadar insidens demam denggi dan demam denggi berdarah di Malaysia adalah masing-masing 118.3 dan 5.1 bagi setiap 100,000 penduduk. Manakala kadar kematian atau mortaliti demam denggi dan demam denggi berdarah pada tahun 1998 adalah masing-masing 0.22 dan 0.23 bagi setiap 100,000 penduduk.

Insidens global demam denggi telah meningkat dengan mendadak dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kini demam denggi merupakan endemik di lebih 100 buah negara rantau Afrika, Amerika, Mediterranean Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Barat Sebelum tahun 1970, hanya sembilan buah negara mengalami epidemik denggi. Bilangan yang merupakan peningkatan 4 kali ganda di sekurang-kurangnya 41 buah negara dalam tahun 1995. Perangkaan yang lain adalah seperti di bawah . Seramai 2500 juta manusia - iaitu 2/5 penduduk dunia - sekarang ini menghadapi risiko demam denggi. Tanpa rawatan yang bersesuaian, kadar kematian akibat demam denggi berdarah mencapai 15% atau lebih .

Apakah gejala denggi?

Demam denggi ialah sejenis penyakit arboviral yang kompleks merangkumi demam denggi, demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi.

Demam Denggi


  • ·Ciri-ciri klinikal demam denggi berubah-ubah mengikut umur pesakit:
  • ·Bayi dan kanak-kanak mungkin mengalami demam yang sukar dibeza-bezakan beserta dengan kemunculan ruam.
  • ·Orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua mungkin mengalami sama ada sindrom demam yang tidak serius ataupun demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk, ruam dan sakit di belakang mata, otot dan sendi.
  • ·Pendarahan kulit adalah fenomena lazim.
  • ·Kadar kematian amat rendah.
  • ·Penyakit ini lazimnya bermula dengan peningkatan suhu badan yang mendadak, diikuti gejala-gejala lain yang tidak khusus seperti merah muka dan lain-lain gejala demam denggi yang tidak spesifik.
  • ·Rasa tidak selesa di bahagian ulu hati (epigastrik), sensitif di bahagian rusuk kanan dan sakit di bahagian abdomen merupakan fenomena biasa demam denggi berdarah.
  • ·Demam selalunya berterusan selama 2-7 hari dan suhu badan boleh meningkat setinggi 40-41oC dan mungkin diikuti dengan kekejangan dan pendarahan.
  • ·Dalam kes-kes yang sederhana teruk, selalunya semua tanda dan gejala penyakit hilang selepas demam sembuh.
  • ·Pesakit biasanya sembuh secara spontan atau selepas diberi terapi cecair dan elektrolit (ion berasingan seperti natrium, klorida, potasium, bikarbonat dan lain-lain)


Sindrom Renjatan Denggi

Bagi kes-kes yang serius, keadaan pesakit merosot dengan mendadak selepas demam beberapa hari. Tanda-tanda kegagalan peredaran darah dapat dilihat:

Kulit pesakit menjadi dingin, lebam dan padat dengan darah terkumpul, sianosis sirkumoral (circumoral cyanosis) dan pesakit merasa tidak selesa. Seterusnya, melarat ke tahap renjatan yang kritikal.

Renjatan dicirikan oleh denyutan nadi yang lemah dan cepat, tekanan darah rendah (hipotensi)(keadaan ini menurun secara tidak normal), kulit menjadi dingin serta lembap dan terasa tidak selesa. Pesakit yang mengalami renjatan adalah dalam keadaan bahaya dan boleh mengancam nyawa jika rawatan bersesuaian tidak diberikan segera. Jangka masa renjatan adalah pendek. Pesakit mungkin meninggal dunia dalam tempoh 12 - 24 jam atau sembuh dengan cepat selepas diberi terapi antirenjatan.

Apakah komplikasi yang mungkin timbul?

Komplikasi demam denggi ialah :


  • Demam Denggi Berdarah.
  • Sindrom Renjatan Denggi.


Apakah ujian-ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan penyakit ini?

Pemeriksaan darah digunakan untuk membantu dalam diagnosis demam denggi. Kiraan sel platlet yang rendah (trombositopenia) dan kepekatan hematokrit (hemokonsentrasi) yang tinggi lazimnya dikesan

Ujian serologi menawarkan kaedah yang paling cepat dan ringkas untuk mengesahkan diagnosis klinikal demam denggi. Pengasingan virus merupakan kaedah diagnosis yang paling boleh dipercayai.

Apakah rawatan yang diberi untuk demam denggi?

Tiada rawatan khusus untuk demam denggi.

Dalam kes demam denggi dengan atau tanpa renjatan, cecair yang diberi secara oral sudah memadai untuk menggantikan kehilangan cecair badan akibat demam kuat, anoreksia dan muntah-muntah.

Ubat antipiretik mungkin boleh digunakan untuk meredakan demam. Walau bagaimanapun, salisilat (sebatian yang mengandungi analgesik untuk melegakan kesakitan, antipyresis - mengurangkan demam dengan menurunkan suhu badan dan aktiviti anti keradangan seperti aspirin) perlu dielakkan kerana ia diketahui boleh menyebabkan pendarahan. Pesakit perlu diawasi dengan rapi bagi mengesan tanda-tanda awal renjatan.

Untuk pesakit-pesakit sindrom renjatan denggi, penggantian awal dan segera plasma yang hilang dengan plasma, penambah plasma dan/atau larutan elektrolit dan cecair akan menghasilkan kesan yang menggalakkan.

Rawatan bukan farmakologi

Rawatan termasuk:


  • ·Meningkatkan pengambilan cecair.
  • ·Meningkatkan bekalan oksigen.


Pesakit demam denggi perlu berehat dan minum lebih banyak air untuk segera sembuh. Pesakit yang mengalami renjatan ketika demam perlu diberi cecair secara intravena (melalui salur darah vena). Oksigen juga perlu diberikan. Untuk pesakit demam denggi berdarah, penggantian cecair badan yang hilang mungkin mampu menyelamatkan nyawanya. Bagi sesetengah kes, pemindahan darah perlu dilakukan bagi mengawal pendarahan.

Rawatan farmakologi

Tiada ubat khusus bagi merawat demam denggi. Rawatan adalah untuk menghilangkan gejala yang timbul.

Apakah jenis pemantauan yang perlu dibuat?


  • ·Apabila sahaja pesakit disahkan mendapat demam denggi adalah menjadi tanggung jawab doktor yang merawat untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan mengenai perkara ini kerana denggi merupakan penyakit yang perlu dilaporkan. Laporan ini penting supaya tindakan lanjutan seperti di bawah ini dapat dijalankan:
  • ·Kawasan dan persekitaran di mana pesakit disyaki dijangkiti perlu dilakukan pengasapan (fogging) oleh pihak berkuasa.
  • ·Memantau kawasan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes supaya ianya tidak merebak ke tempat lain. Jika tempat pembiakan ditemui pemilik rumah akan didenda.
  • ·Apabila pesakit telah keluar dari hospital, beliau dan ahli keluarganya perlu mengambil langkah-langkah pencegahan dan bertindak untuk mencegah penyakit ini dari berulang. Ini kerana pesakit yang pernah mengalami denggi jika ia mendapat semula penyakit ini, kesannya adalah amat teruk.


Apakah prognosis bagi demam denggi?

Pada umumnya, prognosis bagi demam denggi dan demam denggi berdarah adalah baik jika rawatan sokongan diberi lebih awal.

Adakah terdapat kaedah saringan tertentu atau suntikan untuk denggi?

Malang sekali, vaksin untuk penyakit denggi masih belum ada. Namun begitu, beberapa kemajuan telah dicapai dalam proses penghasilan vaksin yang mampu melindungi manusia dari keempat-empat jenis virus denggi. Produk berkenaan mungkin boleh didapati di pasaran dalam beberapa tahun lagi.

Bagaimana cara untuk mencegah denggi?

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan utama:


  • Perlindungan dari gigitan nyamuk.
  • Elak dari melawat atau berkunjung ke kawasan berisiko tinggi pada siang hari.
  • Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk.
  • Hapuskan nyamuk Aedes dewasa.
  • Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk


Untuk mengelak dari gigitan nyamuk, seseorang itu perlulah mengetahui tabiat makan nyamuk dan menggunakan bahan penghindar nyamuk pada kulit yang terdedah apabila perlu. Pakai pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh kerana ini boleh melindungi dari gigitan nyamuk. Pasangkan jaring nyamuk dan skrin pada tingkap untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah.

Elakkan dari membuat lawatan ke kawasan berisiko tinggi di waktu siang

Jalan terbaik ialah mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan bandar) di siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam. Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja.

Musnahkan tempat pembiakan nyamuk

Cara lain untuk mencegah denggi ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk Aedes membiak dalam tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Anda juga perlu selalu menukar air dalam pasu bunga dan bekas air minum haiwan peliharaan untuk mencegah nyamuk dari membiak. Apa yang anda dan keluarga perlu lakukan ialah:


  • Tutup dengan rapat semua bekas air seperti baldi, bejana air dan tong-tong atau masukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalamnya.
  • Salin air dalam jambangan bunga setiap minggu.
  • Buangkan air dan basuh pengalas pasu bunga setiap minggu.
  • Periksa saluran air hujan (saluran bumbung) setiap minggu dan buang daun-daun kayu atau sampah sarap lain yang menyekat aliran air.
  • Bersihkan persekitaran rumah anda. Buangkan semua bekas atau benda yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong dan botol ke dalam beg plastik dan letakkan dalam tong sampah yang bertutup.
  • Hapuskan nyamuk Aedes dewasa


Anda boleh menggunakan penyembur serangga bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah. Melakukan semburan menyeluruh bahagian rumah. Untuk lebih berkesan, semburan perlulah dilakukan ke seluruh bahagian dalam rumah. Anda juga boleh menggunakan ubat nyamuk untuk mengelakkan anda dan keluarga dari digigit nyamuk.
Adakah terdapat kaedah saringan tertentu atau suntikan untuk denggi?

Malang sekali, vaksin untuk penyakit denggi masih belum ada. Namun begitu, beberapa kemajuan telah dicapai dalam proses penghasilan vaksin yang mampu melindungi manusia dari keempat-empat jenis virus denggi. Produk berkenaan mungkin boleh didapati di pasaran dalam beberapa tahun lagi.


Info daripada :
Unit Vektor, JKNPK