Panduan Berbulan Madu Secara Berjimat

Tak payah sampai nak pinjam bank semata-mata nak meraikan cinta agung dengan berbulan madu. Kamu masih boleh membawa yang tersayang untuk menikmati masa kamu berdua dengan harga yang rendah. Cuma perlu diingatkan, percutian itu mestilah bajet seperti MURSHID EUNOS cadangkan ini.

Zaman sekarang kalau tidak ada RM30,000 susah nak kahwin. Bukan kerana membazir tapi bagai menjadi adat untuk meraikan saudara-mara, sahabat-handai dan paling penting rakan sekerja yang sudah tentu ingin datang meraikan kita sebagai pengantin baru.

Seperti ramai berpendapat, kahwin itu sekali dan kalau boleh biarlah ia dilakukan dengan sempurna dan menarik. Justeru tiada istilah berjimat dalam majlis perkahwinan kerana semuanya perlu dibayar zaman sekarang. Walaupun untuk majlis kecil sekali pun, si pengantin perlu ada duit.

Selesai semua majlis, komitmen sebagai pasangan pengantin tidak terhenti di situ. Selain memikirkan soal rumah, tanggungjawab sebagai suami isteri dan rutin harian hidup bersama, sudah pasti berbulan madu atau percutian romantis tersenarai sebagai perkara wajib.

Terutamanya anak remaja dan pasangan muda yang sudah tentu akan menjadikan bulan madu itu sebagai satu kewajipan selepas berkahwin. Kononnya inilah hadiah untuk meraikan cinta mereka dan belum tahu lagi bila pula dapat berbulan madu selepas menimang anak.

Justeru soal berbulan madu akan menjadi masalah kepada pengantin jika wang simpanan sudah habis untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Kebiasaannya si lelaki akan pening kepala untuk memastikan percutian bersama isterinya itu menarik.

Perlu diingat, menarik itu tidak semestinya mahal. Masih ada cara lain untuk menikmati keseronokan berbulan madu dengan kos yang rendah. Semuanya bergantung kepada anda untuk melakukan persediaan yang teliti.

Tidak perlu ke luar negara sebenarnya untuk berbulan madu kerana segala-galanya ada di Malaysia. Apa kata langkah pertama, fikir dengan teliti mengenai destinasi yang ingin anda pergi. Jika anda teringin untuk menaiki kapal terbang sekalipun, anda boleh menempah tiket ke Semenanjung atau ke Sabah dan Sarawak.

Kalau betul anda ingin membawa yang tersayang ke luar negara atau destinasi yang perlu menaiki kapal terbang, sudah tentu anda perlu tahu akan rangkaian penerbangan yang menawarkan harga diskaun rendah. Tempahan tiket penerbangan murah ditawarkan perlu ditempah setahun sebelum pemergian.

Dengan cara ini, anda akan dapat menjimatkan kos kewangan dan disimpan untuk perbelanjaan keperluan yang lain.

Perancangan itu penting. Selepas mengenal pasti destinasi yang anda ingin pergi, perlu untuk difikirkan mengenai bajet untuk setiap inci aktiviti di destinasi yang dipilih itu. Pilih destinasi bukan ikut selera mewah anda atau terpengaruh dengan keindahan lokasi itu kerana pertama sekali, anda perlu memikirkan soal perbelanjaan ke sana.

Elakkan waktu puncak untuk bercuti. Pilih tarikh selain dari tarikh cuti sekolah atau cuti awam di Malaysia. Ini kerana waktu ini harga penginapan akan menjadi lebih mahal. Buat tempahan awal kerana kadangkala anda akan mendapat harga promosi untuk tempahan awal penginapan serta pastikan ia digabungkan dengan sarapan pagi atau makan malam. Ini boleh mengurangkan sedikit bajet anda untuk makanan.

Tidak semestinya anda perlu membuat tempahan untuk hotel yang bertaraf lima bintang saja. Cuba untuk mendapatkan hotel yang berdekatan dengan kawasan pelancongan anda tapi masih mempunyai kelengkapan penuh. Hotel butik atau bertaraf tiga bintang memadai untuk anda bersama-sama pasangan, asalkan tidak melebihi bajet.

Seterusnya fikirkan soal pengangkutan. Jika anda mahu berbulan madu di negeri lain yang mempunyai jalan darat, menaiki kenderaan sendiri adalah alternatif yang paling bijak kerana ia akan memudahkan pergerakan anda di sana nanti.

Tapi jika anda memilih untuk menaiki kenderaan awam yang ada, contohnya kereta api, bas atau kapal terbang, kenal pasti tambang dan masa tersedia untuk memastikan anda dapat sampai ke destinasi tujuan. Beli tiket untuk pergi dan pulang sebagai persiapan awal.

Jika anda mahu lebih murah, anda boleh menaiki kenderaan awam seperti bas atau kereta api untuk melancong asalkan anda mampu bertahan berjam-jam di atas jalan. Anda bukan saja banyak berjimat tetapi boleh melihat keindahan di setiap perhentian.

Juga digalakkan untuk membuat tempahan awal dan semak maklumat pada tiket dengan betul untuk pengesahan masa dan tarikh.

Seterusnya, buat pemerhatian teliti kepada pakej percutian yang ditawarkan kerana ia jauh lebih murah dan mudah. Kenapa pakej lebih murah? Kerana tempahan tiket penerbangan merangkumi penginapan, kenderaan dan makanan. Malah, anda tidak perlu risau untuk keluar wang kerana semuanya sudah dibayar awal ketika anda menempah tiket.

Ketika karnival pelancongan diadakan terdapat banyak promosi yang dilakukan oleh pihak hotel atau ejen pelancongan berdaftar. Buat tempahan awal ketika karnival ini atau dapatkan maklumat daripada pihak mereka agar mudah untuk anda hubungi berkenaan maklumat dan pengesahan.

Jangan malu tawar menawar atau dapatkan pakej yang dikhaskan untuk pasangan berbulan madu.

Kemudian beli cenderahati yang tidak terlalu mahal dan mudah untuk dibawa pulang. Senaraikan berapa orang yang anda mahu hadiahkan dengan cenderahati nanti dan beli secara pukal atau banyak kerana peniaga akan mengurangkan harga jika anda beli secara pukal.

Sekali lagi jangan malu untuk menawar harga. Beli cenderahati yang sama dari segi harga agar tidak ada yang tersinggung nanti mengenai perbezaan cenderahati yang anda hadiahkan. Kedai yang hanya menjual cenderahati adalah sangat digalakkan untuk anda kunjungi kerana mereka mempunyai pelbagai pilihan dan menawarkan harga yang lebih berpatutan.

Tip untuk menjimatkan lagi perbelanjaan anda ketika berbulan madu adalah dengan sediakan barangan peribadi anda secukupnya agar tidak habis ketika berbulan madu. Ini untuk memastikan ketika anda melancong, jika anda tidak membawa barangan yang secukupnya, anda perlu membeli di sana dan ini adalah tidak digalakkan kerana harganya lebih mahal.

Sediakan semuanya untuk kuantiti yang kecil dan usah bimbang untuk berkongsi kerana anda mahu berbulan madu dengan si dia, berkongsi adalah lebih romantik dan dalam masa yang sama menjimatkan.

Kemudiannya, apa kata anda bawa bekalan makanan mencukupi yang boleh mengalas perut seperti roti atau semasa berbulan madu. Ini dapat mengurangkan perbelanjaan makanan yang mahal. Selalunya, wang percutian lebih banyak dihabiskan untuk sesi makan-makan.

Bukan semua destinasi mempunyai harga makanan yang murah lebih-lebih lagi jika mereka tahu anda seorang pelancong. Sebaiknya, tempah hotel atau apa saja penginapan yang ada menyediakan dapur. Memasak boleh menjimatkan wang makan anda.

Pilih pertukaran wang asing termurah. Jika anda melancong ke luar negara, elak menukar mata wang anda dalam saat terakhir. Tanya pendapat rakan di mana lokasi ejen tukar mata wang asing yang boleh memberi pertukaran yang baik dan menguntungkan sebelum anda berlepas.

Paling penting, jangan membawa terlalu banyak beg kerana ia akan meningkatkan kos bayaran untuk barangan anda. Sebaiknya, bawa barang yang penting saja.

Metro

0 comments:

Post a Comment