Panduan Merawat Luka Akibat Melecur

Pengenalan

Melecur merupakan kecederaan biasa yang mudah di cegah. Melecur mudah berlaku akibat kecuaian. Kecederaaan akibat melecur biasanya berlaku ke atas kanak-kanak kerana sifat ingin tahu dan gerakan motor yang belum matang.

Sebab-sebab biasa melecur boleh berlaku ialah:

Lepuhan akibat daripada air panas atau cecair masakan. Objek panas seperti sterika, dapur. Haba daripada minyak masak yang terlampau panas, percikan api. Kebakaran bahan kima yang menghakis. Kebakaran elektrik seperti bermain dengan plug elektrik,sambungan wayar dan soket yang terdedah. Terdedah terlalu lama kepada pancaran cahaya matahari.

Tanda dan gejala

Melecur terbahagi kepada :

Permukaan Kulit 

Ia hanya melibatkan permukaan kulit sahaja. Kulit menjadi merah dan sakit, tetapi tiada gelembung.

Kulit Dalam 

Ia melibatkan lapisan luar kulit. Selain kulit menjadi merah, panas atau sakit, kulit juga melepuh.

Keseluruhan Kulit 

Ia melibatkan semua lapisan kulit termasuk tisu dalaman kulit. Kulit kelihatan pucat, keras dan menggelupas. Ia tidak menyakitkan dan mungkin terdapat kerosakan pada salur saraf.

Terbakar Kulit Dalam

Komplikasi

Komplikasi yang serius boleh berlaku sekiranya sebahagian besar permukaan kulit melecur dan melibatkan bahagian dalaman kulit :

Jangkitan - demam, bernanah, sakit yang teruk dan kulit menggelembung. Komplikasi jangka panjang ialah terjadinya parut.

Rawatan


  • Jika sebahagian kulit sahaja yang melecur(kurang daripada saiz tapak tangan), ia boleh dirawat di rumah.
  • Lucutkan pakaian yang ketat dan barang hiasan dengan berhati-hati. Siram kawasan yang melecur di bawah aliran air selama lebih kurang 15 minit. 
  • Sapukan krim atau losyen yang sesuai. 
  • Jangan sesekali menggunakan minyak gris, mentega, minyak rambut atau ubat gigi yang mana ianya boleh menyebabkan jangkitan. 
  • Minum ubat paracetamol (sirap) untuk mengurangkan kesakitan. 
  • Jangan pecahkan gelembung. Sekiranya ia pecah, biarkan sahaja. 
  • Anda perlukan imunisasi untuk menghalang tetanus. Dapatkan khidmat doktor.


Rawatan lanjutan di hospital perlu diambil sekiranya :


  • Keseluruhan kulit terbakar. 
  • Kulit yang melecur melebihi saiz tapak tangan mangsa. 
  • Jika ia melibatkan bahagian mulut, tekak, mata, telinga, muka atau kawasan kelamin. 
  • Melecur disebabkan bahan-bahan kimia. 
  • Melecur akibat renjatan elektrik. 
  • Terjadi kepada kanak-kanak yang mempunyai alahan.


Ikut arahan bagi tahap melecur dan melepuh yang dialami. Balut kawasan yang melecur dan melepuh dengan kain yang bersih atau pembalut. Anak anda memerlukan suntikan tetanus sekiranya belum pernah mendapatkan suntikan tersebut sebelum ini atau suntikan terakhir yang diterima adalah lebih daripada 5 tahun.

Pencegahan


  • Jauhkan kanak-kanak daripada dapur yang panas, air panas dan barang-barang elektrik. 
  • Jangan biarkan kanak-kanak dalam 'baby walker' di kawasan dapur. 
  • Jangan mendukung anak kecil ketika memasak. 
  • Jangan membawa masakan panas ketika anak-anak berada berhampiran. Jauhkan mancis, pemetik api dan rokok daripada kanak-kanak. 
  • Jangan biarkan anak-anak bermain dengan barangan elektrik di rumah. 
  • Jangan biarkan wayar barangan elektrik berjuntai dan simpan sterika panas di tempat yang selamat. 
  • Jangan gunakan alas meja kerana kanak-kanak kecil boleh menariknya jatuh.


Pemulihan

Rawatan urutan kanak-kanak dan rawatan terapi bergantung pada tahap kecederaan. Sesetengan kecederaan memerlukan rawatan seperti pembedahan untuk menampal kulit.

Panduan Guna Pedingin Hawa Ketika Cuaca Panas oleh TNB

TNB dalam satu kenyataan berkata, antara langkah yang boleh diamalkan ialah;

1) Menyelaraskan suhu sistem penghawa dingin di antara 23 hingga 25 darjah selsius serta kerap menukar atau membersihkan penapis pendingin hawa.

2) Menutup semua pintu dan tingkap serta lubang udara bagi memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik selain mencadangkan untuk membuka kipas dan menetapkan masa pendingin hawa untuk ditutup pada waktu malam.

3) Penggantian pendingin hawa yang berusia lebih 10 tahun dengan yang baharu kerana pada tempoh berkenaan unit itu tidak lagi efisien untuk digunakan.

4) Memilih unit yang mempunyai bintang kecekapan tenaga yang paling tinggi kerana peralatan itu lebih cekap berfungsi.

5) Pilih saiz dan jenis yang tepat bagi menepati kehendak yang diperlukan. Penghawa dingin yang besar bukan saja lebih mahal malah menyebabkan bil elektrik lebih tinggi kerana alat pemampatnya perlu berputar dan berhenti secara berulang.

Panduan Kesihatan: Tanda-tanda demam denggi

Apa itu Demam Denggi?

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.
Bagaimanakah penyakit ini merebak?

Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara rantau tropika. Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.

Pemindahan penyakit:


  • Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus denggi.
  • Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 - 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah).
  • Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui ovari).
  • Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum dijangkiti.
  • Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.


Bagaimanakah terjadinya demam denggi?

Vektor demam denggi adalah nyamuk Aedes betina.

Nyamuk yang telah dijangkiti membawa virus denggi di dalam badannya. Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darahnya, maka bermulalah penyakit ini.

Apakah penyebab demam denggi?

Penyakit demam denggi berpunca dari 4 jenis virus denggi yang dipindahkan kepada manusia melalui nyamuk Aedes yang telah dijangkiti.

Pada asasnya terdapat 4 jenis virus denggi iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Semua nyamuk Aedes berupaya bertindak sebagai vektor virus denggi sebelum memindahkannya kepada manusia. Walau bagaimanapun, vektor utama virus ini ialah nyamuk Aedes Aegypti. Vektor lain adalah seperti nyamuk Aedes Albopictus yang merupakan vektor virus denggi di kawasan bandar.

Apakah faktor yang meningkatkan risiko denggi?

Pada asasnya, mereka yang tinggal di kawasan endemik denggi dan terdedah kepada nyamuk Aedes menghadapi risiko dijangkiti demam ini.

Kumpulan yang berisiko tinggi mendapat penyakit denggi ialah:


  • ·Penduduk dan pelawat kawasan endemik denggi.
  • ·Kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah. Penyakit ini menjadi lebih teruk dan sering membawa kematian kepada kumpulan ini.


Bagaimanakah kedudukan penyakit ini?

Kadar insidens demam denggi dan demam denggi berdarah di Malaysia adalah masing-masing 118.3 dan 5.1 bagi setiap 100,000 penduduk. Manakala kadar kematian atau mortaliti demam denggi dan demam denggi berdarah pada tahun 1998 adalah masing-masing 0.22 dan 0.23 bagi setiap 100,000 penduduk.

Insidens global demam denggi telah meningkat dengan mendadak dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kini demam denggi merupakan endemik di lebih 100 buah negara rantau Afrika, Amerika, Mediterranean Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Barat Sebelum tahun 1970, hanya sembilan buah negara mengalami epidemik denggi. Bilangan yang merupakan peningkatan 4 kali ganda di sekurang-kurangnya 41 buah negara dalam tahun 1995. Perangkaan yang lain adalah seperti di bawah . Seramai 2500 juta manusia - iaitu 2/5 penduduk dunia - sekarang ini menghadapi risiko demam denggi. Tanpa rawatan yang bersesuaian, kadar kematian akibat demam denggi berdarah mencapai 15% atau lebih .

Apakah gejala denggi?

Demam denggi ialah sejenis penyakit arboviral yang kompleks merangkumi demam denggi, demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi.

Demam Denggi


  • ·Ciri-ciri klinikal demam denggi berubah-ubah mengikut umur pesakit:
  • ·Bayi dan kanak-kanak mungkin mengalami demam yang sukar dibeza-bezakan beserta dengan kemunculan ruam.
  • ·Orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua mungkin mengalami sama ada sindrom demam yang tidak serius ataupun demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk, ruam dan sakit di belakang mata, otot dan sendi.
  • ·Pendarahan kulit adalah fenomena lazim.
  • ·Kadar kematian amat rendah.
  • ·Penyakit ini lazimnya bermula dengan peningkatan suhu badan yang mendadak, diikuti gejala-gejala lain yang tidak khusus seperti merah muka dan lain-lain gejala demam denggi yang tidak spesifik.
  • ·Rasa tidak selesa di bahagian ulu hati (epigastrik), sensitif di bahagian rusuk kanan dan sakit di bahagian abdomen merupakan fenomena biasa demam denggi berdarah.
  • ·Demam selalunya berterusan selama 2-7 hari dan suhu badan boleh meningkat setinggi 40-41oC dan mungkin diikuti dengan kekejangan dan pendarahan.
  • ·Dalam kes-kes yang sederhana teruk, selalunya semua tanda dan gejala penyakit hilang selepas demam sembuh.
  • ·Pesakit biasanya sembuh secara spontan atau selepas diberi terapi cecair dan elektrolit (ion berasingan seperti natrium, klorida, potasium, bikarbonat dan lain-lain)


Sindrom Renjatan Denggi

Bagi kes-kes yang serius, keadaan pesakit merosot dengan mendadak selepas demam beberapa hari. Tanda-tanda kegagalan peredaran darah dapat dilihat:

Kulit pesakit menjadi dingin, lebam dan padat dengan darah terkumpul, sianosis sirkumoral (circumoral cyanosis) dan pesakit merasa tidak selesa. Seterusnya, melarat ke tahap renjatan yang kritikal.

Renjatan dicirikan oleh denyutan nadi yang lemah dan cepat, tekanan darah rendah (hipotensi)(keadaan ini menurun secara tidak normal), kulit menjadi dingin serta lembap dan terasa tidak selesa. Pesakit yang mengalami renjatan adalah dalam keadaan bahaya dan boleh mengancam nyawa jika rawatan bersesuaian tidak diberikan segera. Jangka masa renjatan adalah pendek. Pesakit mungkin meninggal dunia dalam tempoh 12 - 24 jam atau sembuh dengan cepat selepas diberi terapi antirenjatan.

Apakah komplikasi yang mungkin timbul?

Komplikasi demam denggi ialah :


  • Demam Denggi Berdarah.
  • Sindrom Renjatan Denggi.


Apakah ujian-ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan penyakit ini?

Pemeriksaan darah digunakan untuk membantu dalam diagnosis demam denggi. Kiraan sel platlet yang rendah (trombositopenia) dan kepekatan hematokrit (hemokonsentrasi) yang tinggi lazimnya dikesan

Ujian serologi menawarkan kaedah yang paling cepat dan ringkas untuk mengesahkan diagnosis klinikal demam denggi. Pengasingan virus merupakan kaedah diagnosis yang paling boleh dipercayai.

Apakah rawatan yang diberi untuk demam denggi?

Tiada rawatan khusus untuk demam denggi.

Dalam kes demam denggi dengan atau tanpa renjatan, cecair yang diberi secara oral sudah memadai untuk menggantikan kehilangan cecair badan akibat demam kuat, anoreksia dan muntah-muntah.

Ubat antipiretik mungkin boleh digunakan untuk meredakan demam. Walau bagaimanapun, salisilat (sebatian yang mengandungi analgesik untuk melegakan kesakitan, antipyresis - mengurangkan demam dengan menurunkan suhu badan dan aktiviti anti keradangan seperti aspirin) perlu dielakkan kerana ia diketahui boleh menyebabkan pendarahan. Pesakit perlu diawasi dengan rapi bagi mengesan tanda-tanda awal renjatan.

Untuk pesakit-pesakit sindrom renjatan denggi, penggantian awal dan segera plasma yang hilang dengan plasma, penambah plasma dan/atau larutan elektrolit dan cecair akan menghasilkan kesan yang menggalakkan.

Rawatan bukan farmakologi

Rawatan termasuk:


  • ·Meningkatkan pengambilan cecair.
  • ·Meningkatkan bekalan oksigen.


Pesakit demam denggi perlu berehat dan minum lebih banyak air untuk segera sembuh. Pesakit yang mengalami renjatan ketika demam perlu diberi cecair secara intravena (melalui salur darah vena). Oksigen juga perlu diberikan. Untuk pesakit demam denggi berdarah, penggantian cecair badan yang hilang mungkin mampu menyelamatkan nyawanya. Bagi sesetengah kes, pemindahan darah perlu dilakukan bagi mengawal pendarahan.

Rawatan farmakologi

Tiada ubat khusus bagi merawat demam denggi. Rawatan adalah untuk menghilangkan gejala yang timbul.

Apakah jenis pemantauan yang perlu dibuat?


  • ·Apabila sahaja pesakit disahkan mendapat demam denggi adalah menjadi tanggung jawab doktor yang merawat untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan mengenai perkara ini kerana denggi merupakan penyakit yang perlu dilaporkan. Laporan ini penting supaya tindakan lanjutan seperti di bawah ini dapat dijalankan:
  • ·Kawasan dan persekitaran di mana pesakit disyaki dijangkiti perlu dilakukan pengasapan (fogging) oleh pihak berkuasa.
  • ·Memantau kawasan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes supaya ianya tidak merebak ke tempat lain. Jika tempat pembiakan ditemui pemilik rumah akan didenda.
  • ·Apabila pesakit telah keluar dari hospital, beliau dan ahli keluarganya perlu mengambil langkah-langkah pencegahan dan bertindak untuk mencegah penyakit ini dari berulang. Ini kerana pesakit yang pernah mengalami denggi jika ia mendapat semula penyakit ini, kesannya adalah amat teruk.


Apakah prognosis bagi demam denggi?

Pada umumnya, prognosis bagi demam denggi dan demam denggi berdarah adalah baik jika rawatan sokongan diberi lebih awal.

Adakah terdapat kaedah saringan tertentu atau suntikan untuk denggi?

Malang sekali, vaksin untuk penyakit denggi masih belum ada. Namun begitu, beberapa kemajuan telah dicapai dalam proses penghasilan vaksin yang mampu melindungi manusia dari keempat-empat jenis virus denggi. Produk berkenaan mungkin boleh didapati di pasaran dalam beberapa tahun lagi.

Bagaimana cara untuk mencegah denggi?

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan utama:


  • Perlindungan dari gigitan nyamuk.
  • Elak dari melawat atau berkunjung ke kawasan berisiko tinggi pada siang hari.
  • Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk.
  • Hapuskan nyamuk Aedes dewasa.
  • Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk


Untuk mengelak dari gigitan nyamuk, seseorang itu perlulah mengetahui tabiat makan nyamuk dan menggunakan bahan penghindar nyamuk pada kulit yang terdedah apabila perlu. Pakai pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh kerana ini boleh melindungi dari gigitan nyamuk. Pasangkan jaring nyamuk dan skrin pada tingkap untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah.

Elakkan dari membuat lawatan ke kawasan berisiko tinggi di waktu siang

Jalan terbaik ialah mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan bandar) di siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam. Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja.

Musnahkan tempat pembiakan nyamuk

Cara lain untuk mencegah denggi ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk Aedes membiak dalam tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Anda juga perlu selalu menukar air dalam pasu bunga dan bekas air minum haiwan peliharaan untuk mencegah nyamuk dari membiak. Apa yang anda dan keluarga perlu lakukan ialah:


  • Tutup dengan rapat semua bekas air seperti baldi, bejana air dan tong-tong atau masukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalamnya.
  • Salin air dalam jambangan bunga setiap minggu.
  • Buangkan air dan basuh pengalas pasu bunga setiap minggu.
  • Periksa saluran air hujan (saluran bumbung) setiap minggu dan buang daun-daun kayu atau sampah sarap lain yang menyekat aliran air.
  • Bersihkan persekitaran rumah anda. Buangkan semua bekas atau benda yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong dan botol ke dalam beg plastik dan letakkan dalam tong sampah yang bertutup.
  • Hapuskan nyamuk Aedes dewasa


Anda boleh menggunakan penyembur serangga bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah. Melakukan semburan menyeluruh bahagian rumah. Untuk lebih berkesan, semburan perlulah dilakukan ke seluruh bahagian dalam rumah. Anda juga boleh menggunakan ubat nyamuk untuk mengelakkan anda dan keluarga dari digigit nyamuk.
Adakah terdapat kaedah saringan tertentu atau suntikan untuk denggi?

Malang sekali, vaksin untuk penyakit denggi masih belum ada. Namun begitu, beberapa kemajuan telah dicapai dalam proses penghasilan vaksin yang mampu melindungi manusia dari keempat-empat jenis virus denggi. Produk berkenaan mungkin boleh didapati di pasaran dalam beberapa tahun lagi.


Info daripada :
Unit Vektor, JKNPK

Panduan Tangani Anak-anak Suka Berkelahi

Pertama, anak-anak memang suka berseloroh, bermain-main bersama dan adakalanya akan berakhir dengan perkelahian dan jerit-pekik. Ini adalah biasa bagi kanak-kanak yang sedang belajar bertolak-ansur. Jika tidak keterlaluan, tidak perlu untuk campur tangan setiap keadaan. Namun, jika nampak mereka bertumbuk dan mula fizikal, maka perlu dileraikan dan dihukum jika sudah diberi amaran. Bila menjalankan hukuman, jalankanlah dgn menjelaskan kpd mereka apa kesalahan mereka. Elakkan dpd terus menghukum. Saya tidak menggalakkan memukul untuk anak yang di bawah 10 tahun, anda boleh menggunakan hukuman lain seperti ‘Reflection Stool‘, taking away privilage atau marah yang membina.

Dimasa lain, ambil masa untuk menerangkan pentingnya mereka bermain bersama dan tidak berkelahi. Ambil masa untuk mengajar mereka erti bertolak-ansur. Jangan hanya mengatakan mereka perlu bertolak ansur itu sahaja. Jelaskan, apa erti perbuatan itu, apa natijahnya dan dsb.Beri mereka faham, jika mereka bergaduh di rumah atau terutamanya di rumah orang lain anda tidak akan membawa mereka ke rumah orang lain. Mereka perlu belajar bermain dengan baik dan bertolak-ansur, share and take turn.Sebelum membawa mereka ke rumah org lain, pastikan anda telah memberi mereka boundaries.

Boundaries sangat perlu supaya mereka tahu apa yang mereka boleh buat dan apa yang tidak. Jadi bila mereka melanggar boundaries itu, anda tidak perlu banyak bercakap, anda boleh terus jalankan hukuman yang telah anda beritahu hendak anda jalankan.

Contoh boundaries – Mereka boleh ikut anda ke rumah kawan anda dan bermain dengan baik. Jika mereka bergaduh dan menjerit-jerit. Anda akan ambil mereka dan terus bawa balik dan tidak akan bawa mereka lagi sehingga mereka belajar untuk behave.

Contoh bounderies – Kita nak pergi kedai. Setiap orang hanya boleh beli satu toy yang harganya dibawah RM10. Jika mahu lebih, kena guna duit sendiri. Kita hanya akan berada di kedai itu sampai pukul 4 ptg atau 1 jam. Tunjukkan jam untuk mereka faham. Jika mereka akur, mereka boleh pergi lagi lain kali. Jika mreka tidak akur, maka mereka tidak akan merasa pergi ke kedai itu lagi.

Yang penting, bila sudah set boundaries, kita juga mesti ikut. Jika mereka melanggarnya, maka anda perlu mengambil hukuman yang telah dipersetujui. Anak-anak perlu diajar kesan perbuatan dan pilihan mereka. This teach them to be responsible and learn to take ownership.

Seperkara yang perlu ibu ingatkan di sini. Bila kita tidak mahu anak-anak bergaduh, janganlah pula expose mereka kepada suasana bergaduh. Contohnya di TV, atau game atau kita suami isteri sendiri, janganlah bergaduh di hadapan anak-anak.Ibu harap ini membantu.

Gentle parenting -atau Keibubapaan Lembut dan berhemah bukan bermaksud lembik dan mengikut sahaja kehendak anak. Tetapi memberi anak-anak rasa dihormati dan dikasihi, kerana cara kita menegur dan membetulkan mereka itu penuh kasih dan tegas.

Sumber

Panduan hilangkan bau durian di dalam kereta

Cara murah dan mudah untuk kita menghilangkan bau durian di dalam kereta adalah mengikut petua orang-orang tua seperti di bawah. Anda boleh cuba dulu, tapi bau itu memang tak akan hilang dengan serta-merta.

1. Balut buah durian itu dengan daun ubi kayu atau betik atau apa-apa daun yang kelebarannya boleh menutupi kelebaran buah durian.

2. Cuba letak separuh buah nenas yang telah dipotong. Bau durian itu akan diserap oleh nenas.

3. Cuba letak daun pandan, terus hilang bau.

4. Letakkan beberapa keping roti (semua jenis roti boleh) tutup kesemua pintu dan tingkap, biarkan beberapa jam, bau durian akan hilang.

5. Letakkan beberapa ketulan kayu arang di kawasan yang berbau durian. Arang akan menyerap kesemua bauan tersebut.

6. Serbuk kopi (tak kisah cap apa pun) juga boleh menyerap bauan tak sedap. Bungkus serbuk kopi dalam kain atau masukkan dalam bekas kemudian letak di dalam kereta.

7. Letakkan semangkuk serbuk penaik (baking soda) di dalam kawasan yang berbau kurang enak. Bau durian itu juga akan hilang diserap.

8. Letakkan bekas cuka di dalam kawasan yang berbau kurang enak. Cuka akan mengurangkan bau tersebut.

9. Masukkan semua durian dalam bungkusan beg plastik dua atau tiga lapis kemudian ikat ketat-ketat sebelum letak di dalam bonet keret. Selepas itu buka semua tingkap kereta semasa memandu, jangan pasang pendingin hawa. Biarkan udara memasuki kereta anda itu.

Sumber: http://firestartingautomobil.blogspot.com

Panduan Mahram Dan Bukan Mahram Dalam Keluarga

Bersalaman atau berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan seperti perkara biasa sahaja, lebih-lebih lagi di kalangan keluarga, tidak kira dekat ataupun jauh. Sebenarnya tidaklah begitu. Agama telah mengaturkan bukan semua keluarga dibolehkan dijabati tangan, ada yang boleh, ada pula yang tidak boleh. Perkara inilah yang hendak dihuraikan dalam ruangan ini. Dalam ahli keluarga itu, ada yang dikategorikan sebagai mahram dan ada juga yang dikategorikan sebagai bukan mahram.

Namun untuk memudah cara mengetahui siapa yang bukan mahram, memadai dengan mengetahui siapa yang dikatakan perempuan mahram itu. Perempuan mahram itu ialah perempuan yang haram dinikahi atau dijadikan isteri. Hakikat mahram yang sebenarnya ialah perempuan yang dihalalkan untuk dilihat, diajak berdua-duaan atau berpergian dengannya.

Perempuan mahram terbahagi kepada tiga bahagian dengan sebabsebab yang tertentu:

Pertama: Mahram kerana keturunan.
Kedua: Mahram kerana saudara sesusuan.
Ketiga: Mahram kerana perkahwinan.

Perempuan mahram kerana keturunan adalah seperti berikut:

1. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas.
2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah.
3. Adik beradik perempuan seibu sebapa.
4. Adik beradik perempuan sebapa.
5. Adik beradik perempuan seibu.
6. Emak saudara sebelah bapa (adik‐beradik bapa) dan seterusnya ke atas.
7. Emak saudara sebelah ibu (adik‐beradik ibu) dan seterusnya ke atas.
8. Anak perempuan dari adik‐beradik lelaki mahupun dari adik‐beradik perempuan (anak kemanakan).

Mahram kerana saudara sesusuan sama pembahagiannya dengan mahram kerana keturunan, sebagai mana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha: Maksudnya:

“Dilarang untuk dinikahi saudara (adik-beradik) perempuan sesusuan sebagaimana dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan.” (Hadis riwayat Muslim)

Nash yang menyebutkan tentang kedua-dua bahagian mahram ini pula ada tersebut di dalam Al-Qur’an melalui firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah an-Nisa ayat 23.

Sementara itu perempuan yang termasuk di dalam kategori mahram kerana perkahwinan adalah seperti berikut:

1. Emak mertua.
2. Anak menantu.
3. Emak tiri.
4. Anak tiri.

Oleh itu, perempuan-perempuan dari ahli keluarga isteri selain empat orang yang disebutkan di atas kekal sebagai perempuan ajnabiyyah. Perempuan ajnabiyyah itu ialah perempuan yang boleh dinikahi, tidak halal untuk dilihat, haram diajak berdua-duaan dan berpergian dengannya dan ia adalah perkataan lawan bagi perkataan perempuan mahram.

Contoh Ahli Keluarga Yang Bukan Mahram

Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana perkahwinan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah:

1. Isteri kepada adik‐beradik bapa. (emak saudara sebelah bapa)
2. Isteri kepada adik‐beradik emak. (emak saudara sebelah emak)
3. Adik‐beradik bapa mertua perempuan.
4. Adik‐beradik emak mertua perempuan.
5. Anak kemanakan isteri perempuan. (anak adik‐beradik isteri)
6. Kakak ipar.
7. Adik ipar perempuan.

Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana keturunan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah:

1. Sepupu perempuan. (anak adik beradik bapa atau emak)
2. Sepupu bapa.
3. Sepupu emak.

Oleh kerana mereka ini tidak tersenarai dalam kategori mahram yang disebutkan sebelum ini, maka batasan hukum bersentuhan dengan mereka ini adalah sama dengan perempuan ajnabiyyah.

Sumber: Fatwa kerajaan Negara Brunei

Panduan Qada Solat Fardhu

1. Mengqada'kan Solat

Soalan: Adakah perlu mengqada' solat fardhu yang telah ditinggalkan atau cukupkah dengan bertaubat sahaja?

 Abdullah, KL

Jawapan: Pengertian qada' menurut bahasa ialah menunaikan dan membayar. Menurut istilah pula ialah menunaikan ibadat di luar waktunya atau masih di dalam waktunya. Mereka yang meninggalkan solat sama ada sengaja atau tidak, diwajibkan mengqada'kan solat itu di luar waktunya. Meninggalkan solat tanpa uzur yang syarie' dianggap berdosa.

Uzur yang dibenarkan ialah dua perkara iaitu terlupa dan tertidur. Mereka yang meninggalkannya sama ada terlupa atau tertidur atau sengaja, wajib bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Taubat tidak akan diterima selagi tidak memenuhi syarat-syarat taubat iaitu, tidak lagi meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekalipun, menyesal di atas segala perbuatan maksiat khususnya solat yang ditinggalkan dan berazam tidak akan mengulangi semua keburukan pada masa akan datang. Wajib ke atasnya mengqada' semula solat-solat yang telah ditinggalkan.

2. Masa Mengqadha' Solat

Soalan: Bilakah tepat masanya yang sesuai untuk kita mengqadha' solat fardhu?

Jaffa, Singapura

Jawapan:
Para ulama sepakat bahawa mengqadha' solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW: "Sebenarnya bukanlah termasuk lalai kerana tertidur. Kelalaian itu ialah di waktu bangun. Maka apabila seseorang lupa solat atau ia tertidur, hendaklah ia melakukannya jika telah ingat atau sedar". Orang yang pengsan, tidak perlu mengqadha' solatnya, kecuali bia ia sedar itu cukup waktu untuk bersuci dan bersolat.

Adapun orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka menurut mazhab Jumhur ia berdosa dan wajib mengqadha'. Sebaliknya Ibnu Taimiyah berkata: "Orang yang sengaja meninggalkan solat, tidaklah diperintah oleh syarak mengqadha' dan jika diqadha' juga maka tidak sah, hanya ia harus memperbanyak solat sunat".

Kemudian menurut Abu Hanifah, Malik dan Syafei berpendapat bahawa ia harus mengqadha' bila waktunya habis, bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqadha' sebelum solat yang waktunya hadir, ini bila yang sengaja ditinggalkan itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Namun kalau lebih dari lima waktu, maka dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.

3. Tertidur Waktu Solat Subuh

Soalan: Saya mendengar ada orang mengatakan kalau kita terlewat bangun waktu Subuh lalu waktu Syuruk telah lepas, kita boleh terus sembahyang Subuh tanpa perlu niat Qadha'. Betulkah Ustaz? Kalau boleh Ustaz tolong jelaskan?

Abdullah, KL

Jawapan:
Jika kita terlewat waktu subuh kerana tertidur, sedangkan waktu syuruk telah lepas ataupun matahari telah terbit, maka ketika terjaga tersebut segeralah mengerjakan solat Subuh. Tidak perlulah kita berniat qadha', sebab terlepas sesuatu hukuman tersebut lantaran bukan sengaja. Namun jika kita mengetahui telah masuknya waktu subuh tetapi kita meneruskan tidur, maka perkara ini jelas berdosa.

4. Terlewat Solat Subuh

Soalan: Saya telah terlewat bangun untuk mengerjakan sembahyang subuh sehingga luput waktunya, bolehkah saya mengerjakan sembahyang subuh itu walaupun telah luput waktunya atau saya perlu mengqadanya bila waktu zuhur?

MS, Shah Alam

Jawapan:
Meninggalkan solat secara sengaja adalah berdosa. Ini kerana solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang menunaikannya bererti telah mendirikan agama dan sesiapa yang mencuaikannya bererti meruntuhkan agama. Namun begitu bagi orang yang tertinggal solat bukan dengan cara sengaja seperti bangun subuh lewat dari waktunya, maka yang terlibat tidak berdosa.

Bagaimanapun ia dikehendaki segera mengqada'kannya tanpa menunggu masuknya waktu zohor. Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih yang menjelaskan Allah SWT tidak mengambil kira amalan yang dilakukan oleh umat Muhammad yang dilakukan secara tersalah, terlupa atau terpaksa.

5. Mengqada Solat yang Tertinggal

Soalan: Bagaimanakah caranya untuk mengqadakan sembahyang yang tertinggal, dan apakah niatnya?

Azham,Sg Petani

Jawapan:
Para ulama sepakat bahawa mengqada solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur. Begitu juga meninggalkan solat dengan sengaja maka menurut mazhab jumhur ia berdosa dan wajib mengqadha. Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafie, orang yang meninggalkan solat wajib mengqadanya. Bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqada sebelum solat yang waktunya hadir. Ini bila solat yang ditinggalnya itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Tetapi kalau lebih dari lima waktu, maka supaya dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.

Mengenai niat, cukup dengan menanamkan niat dalam hati bahawa solat yang akan kita kerjakan itu merupakan solat qada dari solat-solat tertentu yang tertinggal.

Sumber: Darul Numan

Panduan Melembutkan Hati Suami Yang Garang Dan Panas Baran

Sekali lagi saya kongsi dari sebuah buku Membina Hati Bahagia Dr. Tuah Iskandar al Haj - Melembutkan Hati Suami Yang Garang Dan Panas Baran

Untuk melembutkan hati suami dan menurunkan suhu panas barannya amal kan ini :

  • Banyakkan berdoa selepas solat. Hadiah kan Al Fatihah khusus untuk suami supaya dilembutkan hatinya dan diberi taufik serta hidayah.
  • Baca surah Taha, ayat 1-8dan kemudian baca doa Nabi Daud as sebanyak 3 kali

" Ya ALLAH, ENGKAU lembutkanlah hati suamiku ( sebut nama ) sebagaimana ENGKAU lembutkan besi di tangan Nabi Daud"

  • Ketika memasak basahkan lidah dengan zikir " Ya - Latif " sebanyak 129 kali diikuti surah asy -Syu'raa ayat 19 yang bermaksud :

" ALLAH Maha Lembut kepada hamba NYA. DIA memberi rezeki kepada sesiapa yang DIA kehendaki. dan DIA lah yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

  • Diikuti pula dengan perbanyakkan zikir " Ya Hayyu, Ya Qayyum, Ya Latiff " dan " Ya Rahman " berulang-ulang.

Semua ini insyaallah adalah doa melembutkan hati...

Panduan Masuk Rumah Baru Cara Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Rumah adalah salah satu keperluan kita untuk berteduh dan tidur dan membina keluarga bahagia di dalamnya iaitu tempat pendidikan ahli keluarga, beramal ibadah dan melepaskan penat lelah setelah bekerja disiang hari. Rumah yang hendak dimiliki perlulah dibeli secara Islam dan jangan menggunakan sistem riba . Perlu diingatkan kerana rumah yang dibeli dengan cara yang halal akan mendatangkan keberkataan dan keredaan Allah SWT.

Islam adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna. Dalam setiap amalan dan pekerjaan yang hendak kita lakukan terdapat doa dan adab-adab yang dianjurkan Islam untuk kita ikuti dan amalkan. Termasuk juga apabila kita hendak menduduki rumah baru atau rumah lama yang ditinggalkan ada beberapa doa dan amalkan yang perlu kita lakukan supaya terhindar daripada gangguan makhluk halus yang menjadi penghuni rumah tersebut tanpa kita ketahui.

Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :

1. Solat berjemaah dan azan. 

Rumah yang baru di beli atau baru di duduki eloklah dilakukan solat berjemaah dikalangan ahli keluarga. Mulakan dengan laungan azan untuk melakukan solat fardu ketika pertama kali masuk rumah baru. Ia juga baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW. pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis/rumah) itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yg dikenali sebgai Al-'Ammar) yang suka tinggal di rumah yang tidak berpenghuni.

2. Membaca surah Al-Baqarah  

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasululuuah SAW bersabda yang bermaksud; "Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), sesungguhnya rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan" (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Muslim dan Nasai)

3. Banyakkan solat sunat dan membaca al-Quran 

Dalam sebuah hadis lain pula, Rasulullah SAW. juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yang bermaksud: "Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran." (Hadis riwayat Baihaqi)

4. Baca Zikir al-Mathurat kubra setiap pagi (lepas subuh) dan petang (selepas asar atau lepas magrib).

Amalan ini bukan untuk menduduki rumah baru sahaja tetapi amalan harian yang sunat yang dituntut untuk dibacakan setiap hari pagi dan petang. Insya Allah jin kafir dan syaitan akan menjadi lemah untuk menggoda dan mengganggu pengamalnya yang sentiasa membaca zikir al-Mathurat .

5. Pagar Rumah Secara Islam 

Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut-sudut tertentu di rumah atau bangunan yang diduduki dengan kepercayaan bahawa benda tersebut akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang bertentangan di sisi Islam. Bagaimana pun ada cara yang dibolehkan dan digalakkan mengikut ajaran Islam.

i. Baca surah Yasin sekali dan sediakan air satu bekas kemudian 'memagar rumah' dengan merenjis air Yassin di sekeliling rumah. Amalan ini adalah amalan masyarakat Islam untuk menghalang daripada gangguan jin. Setiap ayat al-Quran yang dibacakan keatas air akan ada gelumbang yang baik dan laju dan amat dibenci oleh makhluk ghaib seperti jin dan syaitan.

“... Surah Yasin adalah qalbul Quran (jantung atau hati al-Quran), tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharap keredhaan Allah dan negeri akhirat (syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah ia kepada orang yang akan mati di antara kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh ad-Daruquthni, al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth).

Walaupun hadis di atas dhaif tetapi ulama membenarkan (untuk beramal bukan untuk menjadi sumber hukum) untuk diamalkan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT dan terdapat hadis sahih menyatakan :

Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran), maka baginya satu pahala kebaikan dan satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi 10 kali, aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf, dan Miim satu huruf.”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Surah Yasin adalah salah satu daripada surah-surah dalam al-Quran.

ii. Ambil air kemudian baca surah Al-Fatihah sekali, ayat Kursi sekali, Surah 3 Kul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas) sekali. Kemudian tiup ke dalam air tersebut perlahan-lahan hingga habis nafas. Setelah itu, jirus dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru di dalam rumah dengan mulai dengan penjuru yang terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya, mengikut arah berlawanan jarum jam. Wallahu a'lam.

Sahabat yang dikasihi,

Marilah kita beramal dengan amalan cara Islam dalam apa keadaan sekali pun samaada semasa kita membeli rumah atau semasa kita hendak menduduki rumah baru. Rumah yang berkat adalah rumah yang sentiasa dilaungkan bacaan al-Quran, berzikir, solat-solat sunat dan mengadakan majlis tazkirah dan tarbiah. Tradisi memanggil jemaah masjid / surau untuk membaca doa selamat dan membaca surah Yasin di rumah baru adalah amalan yang baik.

Panduan Solat: Pahala Solat Di Hujung Waktu


SOALAN
Ustaz, ramai kalangan rakan termasuk saya melakukan solat di hujung waktu. Apa yang kita dapat jika solat di hujung waktu itu dan adakah pahalanya?

Shidah, Shah Alam.

JAWAPAN

Solat adalah ibadah yang difardukan Allah SWT kepada setiap Muslim dalam waktu tertentu. Ini bermaksud solat tidak sah dan tidak diterima jika dilakukan di luar waktunya. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ 103:

“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang wajib atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya”.

Jelas daripada ayat di atas kewajipan solat adalah dalam waktu tertentu. Jika diteliti lebih dalam lagi semua solat sama ada solat fardu atau solat sunat mempunyai waktu tertentu. Tidak ada persoalan solat pada awal waktu dan memang digalakkan untuk solat pada awal waktu tetapi persoalannya bagaimana solat pada akhir waktu. Apakah diterima dan diberi pahala?

Setiap waktu solat mempunyai waktu mula dan waktu tamat. Telah sabit kenyataan dalam beberapa hadis yang sahih bahawa Jibril telah datang bertemu Nabi s.a.w selepas solat lima waktu difardukan untuk memberitahu waktu-waktunya serta menetapkan waktu bermula dan waktu akhir setiap solat. Waktu solat itu telah diterangkan oleh Nabi s.a.w kepada umat Islam melalui perkataan dan perbuatan Nabi s.a.w.

Sabda Nabi s.a.w : Yang bermaksud, daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA, daripada Nabi s.a.w, Baginda telah ditemui oleh seorang yang bertanya tentang waktu-waktu solat. Tetapi Baginda tidak menjawabnya. Manakala dalam riwayat yang lain pula Baginda bersabda, “Bersolatlah bersama-sama kami”.

Lalu baginda menunaikan solat Subuh ketika fajar terbit sedangkan penglihatan orang ramai masih belum dapat mengenali antara satu sama lain. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi bersolat Zuhur ketika matahari gelincir. Ada yang berkata, ketika itu waktu tengah hari sedangkan Baginda lebih mengetahuinya daripada mereka.

Seterusnya Baginda menyuruh mereka bersama-sama Baginda menunaikan solat Asar ketika matahari masih tinggi. Kemudian disuruhnya lagi, lalu Baginda menunaikan solat Maghrib yang pada ketika itu matahari telah terbenam. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi, maka ditunaikan pula solat Isyak ketika syafak hilang daripada penglihatan.

Pada keesokan harinya, Baginda telah melewatkan solat Subuh sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, matahari telah terbit atau hampir terbit. Kemudian Baginda melewatkan solat Zuhur hingga hampir ke waktu Asar sebagaimana semalam. Kemudian Baginda melewatkan solat Asar sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, warna matahari kemerah-merahan.

Seterusnya Baginda melewatkan pula solat Maghrib, hingga syafak hampir tidak kelihatan lagi. Kemudian Baginda melewatkan solat Isyak sehingga lewat tengah malam. Apabila menjelang pagi, Baginda memanggil orang tersebut lalu bersabda, “Waktu solat ialah di antara dua masa ini”.

Terdapat juga beberapa hadis yang menerangkan sebahagian perkara yang umum atau yang menambah penerangannya sebagaimana yang dapat dilihat dalam perincian waktu-waktu setiap solat seperti yang berikut:

Apabila Nabi s.a.w berkata “Waktu solat ialah di antara dua masa ini” ia menunjukkan bahawa solat di antara dua waktu itu diterima oleh Allah SWT dan diberikan pahala. Cuma solat pada awal waktu amat digalakkan daripada solat pada akhir waktu.

Jangan sengaja lengahkan solat

Tidak patut seseorang Muslim sengaja melengah-lengahkannya hingga ke akhir waktu dengan alasan tempohnya panjang. Ini kerana perbuatan tersebut mungkin menyebabkan waktunya terluput malah sikap cuai ini mungkin menyebabkan solat terus tertinggal. Sebenarnya semua solat, sunat disegerakan pada awal waktunya. Ketika ditanya tentang amalan yang afdal Nabi s.a.w bersabda:

Yang bermaksud : “Menunaikan solat pada awal waktunya.”

Seseorang yang melakukan sebahagian solatnya dalam waktu dan sebahagian yang lainnya di luar waktu jika dapat menyempurnakan satu rakaat dalam waktunya maka keseluruhan solat tersebut dikira qada’.

Hal ini berdasarkan hadis : Yang bermaksud : “daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Subuh sebelum matahari terbit maka dia telah dapat menunaikan solat Subuh itu dan sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Asar sebelum matahari terbenam maka dia telah dapat menunaikan solat Asar itu. Dan sabdanya lagi, sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat dalam waktunya maka dia telah dapat menunaikan solat itu.”