Panduan Solat: Pahala Solat Di Hujung Waktu


SOALAN
Ustaz, ramai kalangan rakan termasuk saya melakukan solat di hujung waktu. Apa yang kita dapat jika solat di hujung waktu itu dan adakah pahalanya?

Shidah, Shah Alam.

JAWAPAN

Solat adalah ibadah yang difardukan Allah SWT kepada setiap Muslim dalam waktu tertentu. Ini bermaksud solat tidak sah dan tidak diterima jika dilakukan di luar waktunya. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ 103:

“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang wajib atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya”.

Jelas daripada ayat di atas kewajipan solat adalah dalam waktu tertentu. Jika diteliti lebih dalam lagi semua solat sama ada solat fardu atau solat sunat mempunyai waktu tertentu. Tidak ada persoalan solat pada awal waktu dan memang digalakkan untuk solat pada awal waktu tetapi persoalannya bagaimana solat pada akhir waktu. Apakah diterima dan diberi pahala?

Setiap waktu solat mempunyai waktu mula dan waktu tamat. Telah sabit kenyataan dalam beberapa hadis yang sahih bahawa Jibril telah datang bertemu Nabi s.a.w selepas solat lima waktu difardukan untuk memberitahu waktu-waktunya serta menetapkan waktu bermula dan waktu akhir setiap solat. Waktu solat itu telah diterangkan oleh Nabi s.a.w kepada umat Islam melalui perkataan dan perbuatan Nabi s.a.w.

Sabda Nabi s.a.w : Yang bermaksud, daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA, daripada Nabi s.a.w, Baginda telah ditemui oleh seorang yang bertanya tentang waktu-waktu solat. Tetapi Baginda tidak menjawabnya. Manakala dalam riwayat yang lain pula Baginda bersabda, “Bersolatlah bersama-sama kami”.

Lalu baginda menunaikan solat Subuh ketika fajar terbit sedangkan penglihatan orang ramai masih belum dapat mengenali antara satu sama lain. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi bersolat Zuhur ketika matahari gelincir. Ada yang berkata, ketika itu waktu tengah hari sedangkan Baginda lebih mengetahuinya daripada mereka.

Seterusnya Baginda menyuruh mereka bersama-sama Baginda menunaikan solat Asar ketika matahari masih tinggi. Kemudian disuruhnya lagi, lalu Baginda menunaikan solat Maghrib yang pada ketika itu matahari telah terbenam. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi, maka ditunaikan pula solat Isyak ketika syafak hilang daripada penglihatan.

Pada keesokan harinya, Baginda telah melewatkan solat Subuh sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, matahari telah terbit atau hampir terbit. Kemudian Baginda melewatkan solat Zuhur hingga hampir ke waktu Asar sebagaimana semalam. Kemudian Baginda melewatkan solat Asar sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, warna matahari kemerah-merahan.

Seterusnya Baginda melewatkan pula solat Maghrib, hingga syafak hampir tidak kelihatan lagi. Kemudian Baginda melewatkan solat Isyak sehingga lewat tengah malam. Apabila menjelang pagi, Baginda memanggil orang tersebut lalu bersabda, “Waktu solat ialah di antara dua masa ini”.

Terdapat juga beberapa hadis yang menerangkan sebahagian perkara yang umum atau yang menambah penerangannya sebagaimana yang dapat dilihat dalam perincian waktu-waktu setiap solat seperti yang berikut:

Apabila Nabi s.a.w berkata “Waktu solat ialah di antara dua masa ini” ia menunjukkan bahawa solat di antara dua waktu itu diterima oleh Allah SWT dan diberikan pahala. Cuma solat pada awal waktu amat digalakkan daripada solat pada akhir waktu.

Jangan sengaja lengahkan solat

Tidak patut seseorang Muslim sengaja melengah-lengahkannya hingga ke akhir waktu dengan alasan tempohnya panjang. Ini kerana perbuatan tersebut mungkin menyebabkan waktunya terluput malah sikap cuai ini mungkin menyebabkan solat terus tertinggal. Sebenarnya semua solat, sunat disegerakan pada awal waktunya. Ketika ditanya tentang amalan yang afdal Nabi s.a.w bersabda:

Yang bermaksud : “Menunaikan solat pada awal waktunya.”

Seseorang yang melakukan sebahagian solatnya dalam waktu dan sebahagian yang lainnya di luar waktu jika dapat menyempurnakan satu rakaat dalam waktunya maka keseluruhan solat tersebut dikira qada’.

Hal ini berdasarkan hadis : Yang bermaksud : “daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Subuh sebelum matahari terbit maka dia telah dapat menunaikan solat Subuh itu dan sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Asar sebelum matahari terbenam maka dia telah dapat menunaikan solat Asar itu. Dan sabdanya lagi, sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat dalam waktunya maka dia telah dapat menunaikan solat itu.”

0 comments:

Post a Comment