Pages - Menu

Wednesday, June 4, 2014

Panduan Filem: Riviu Filem Edge Of Tomorrow

Live. Die. Repeat. Hidup. Mati. Ulangan. Itu tagline filem ini. Berapa kalikah watak lakonan oleh Tom Cruise ‘terbunuh’ dalam filem-filemnya yang terdahulu? Saya rasa kebanyakan filem lakonannya, beliau diangkat sebagai hero sehingga kesudahan filem.

Edge of Tomorrow (2014) ialah filem dimana watak lakonan Tom Crusie mati berkali-kali-kali-kali! Kerana terperangkap dalam gelungan masa atau time loop. Filem ini diarahkan oleh Doug Liman iaitu adaptasi secara longgar dari novel Jepun All You Need Is Kill karya Hiroshi Sakurazaka.

Ringkasnya begini, sudah 5 tahun bumi diserang oleh makhluk asing bergelar Mimics yang tangkas menekap strategi peperangan oleh manusia. Hari berikutnya ialah pertempuran terbesar dan terakhir yang akan berlaku di pantai Normandy.

Major William Cage (Tom Cruise) dipaksa menyertai sekumpulan askar elit bergelar J Squad untuk berlawan dengan kumpulan makhluk asing.
Sesuatu di luar dugaan berlaku dimana gerombolan Mimics melakukan serangan hendap, seakan-akan sudah mengetahui misi ketenteraan itu. Lantas, semua askar terkorban seorang demi seorang termasuklah Cage yang mengambil jalan terakhir dengan meletupkan dirinya di hadapan seekor Mimics yang unik. Waktu itulah, lendiran dari Mimics telah tersimbah ke tubuh Cage mewujudkan sesuatu yang sangat aneh mengakibatkan dia terperangkap dalam gelungan masa, hari yang sama, berulang-ulang.

Kisah kehidupan pelik Cage itulah yang dikembangkan sehingga ke penamat filem ini.

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler.

Filem ini bermula dengan konflik kekalutan di seluruh dunia versi paparan berita-berita ala realiti di kaca televisyen untuk memberi latar cerita fiksyen sains yang mudah difahami. Bumi sedang ditakluk oleh makhluk asing. Ia asas bukaan filem-filem kehancuran bumi oleh serangan sesuatu yang maha dahsyat. Cepat dan padat.

Di antara laporan berita itulah diselitkan penampilan Major William Cage yang menjadi ‘spin doctor’ atau jurucakap tentang misi ketenteraan Amerika yang kononnya kini menjadi satu-satunya harapan bumi. Dalam ertikata lain, Cage hanyalah boneka yang pakar mencanang propaganda di media sahaja tanpa benar-benar secara fizikalnya sebagai seorang askar yang berjuang di medan perang. Hakikatnya, Cage seorang yang penakut dan pengecut.

Babak-babak peperangan sengit di antara manusia melawan Mimics mirip dalam filem Starship Troopers (1997) dalam versi askar ber-uniform seperti gabungan Robocop (1987) dan Elysium (2013) dipanggil ‘Jackets’ yang dipakai oleh tentera United Defense Force (UDF).
Dari asas jalan cerita pula, filem ini seperti tekapan filem time loop Groundhog Day (1993) dan Source Code (2011) dengan penyudah yang sangat mudah iaitu menghapuskan ‘ibu’ kepada semua makhluk asing seperti filem Independence Day (1996). Ok! Saya tidak mengatakan klise filem ini sehingga menyebabkan ia membosankan. Ia cuma tidak 100% asli tetapi berjaya bercerita dengan bagus walaupun pengulangan plot gelungan masa dek aksi dan reaksi yang berbeza mengikut aneka pilihan hidup oleh watak William Cage.

Kronologi babak yang dipaparkan disunting dengan baik sehingga sesekali timbul suasana humor di tengah ledakan bom dan aksi tembak-menembak di medan perang. Pada awalnya pengulangan hidup/mati Cage sekadar ‘trial and error’ tanpa hala tuju sehinggalah kewujudannya disedari oleh watak Rita Vrataski (Emily Blunt).

Antara yang menariknya menonton filem berstruktur time loop sebegini ialah perasaan kebersamaan penonton dengan watak William Cage dalam setiap pengulangan dimana kita dan dia sahaja yang tahu bahawa hari itu berulang sekali lagi. Manakala watak-watak lain melalui hari yang baru untuk kali pertama. Penonton juga cuba meneka-neka sudah berapa kali Cage mengulangi hari tersebut?

Pengembangan watak Cage dari seorang yang naif dan kosong tentang taktik ketenteraan menjadi semakin matang dan super soldier handal kerana pengulangan masa sebagai latihan bak kata peribahasa ‘alah bisa, tegal biasa’ atau ‘practice makes perfect’ katanya.

Tambahan pula Cage belajar dari guru mempertahankan diri yang terbaik dan terhebat iaitu Rita Vrataski, The Full Metal Bi*ch.

Selain dari pesona lakonan Tom Cruise dan Emily Blunt yang tidak boleh dinafikan memang best, filem ini juga menampilkan rupa bentuk realisme makhluk asing Mimics dari imej janaan komputer CGI yang seronok ditonton. Ia sangat pantas, bijak dan brutal. Oleh kerana filem ini sarat babak aksi-aksi pertempuran meletup, tidak disangkal juga ia kadangkala terasa seperti menonton video games yang berulang-kali dimainkan dengan taktik yang berbeza-beza untuk memenangi level demi level sehinggalah pertempuran terakhir Cage memusnahkan Mimics versi Omega.

Pengarahnya Doug Liman yang terkenal dengan aksi bertimpa-timpa dalam filem The Bourne Identity (2002) dan Mr. & Mrs. Smith (2005) tahu bagaimana menangani filem aksi pantas sebegini. Persoalannya ialah sama ada peminat Tom Cruise atau peminat filem aksi fiksyen sains atau peminat novel asli oleh Hiroshi Sakurazaka yang akan menentukan jatuh-bangun dan untung-rugi filem ini kerana ia berani untuk bersaing dengan filem-filem musim panas yang lain. Ia sukar dijangka.

KESIMPULAN

Edge of Tomorrow (2014) sebenarnya cerita yang pendek tetapi dipanjangkan hanya kerana pengulangannya yang munasabah melalui lesen fiksyen sains tentang gelungan masa. Saya suka waktu kali pertama menontonnya, mungkin juga akan mengulang tontonan. Siapa tahu?

Ulasan Rotikaya

No comments:

Post a Comment