Panduan Kesihatan: Hubungan kelamin selepas caesarean

Luka caesarean biasanya akan sembuh satu bulan selepas bersalin caesarean. - Gambar hiasan

SAYA baru bersalin tiga bulan yang lepas secara pembedahan caesarean. Bilakah masa yang sesuai untuk melakukan hubungan kelamin?

Rosma, Kedah

Jawapan:

Menyentuh soalan tentang masa yang sesuai untuk mengadakan hubungan kelamin selepas bersalin secara pembedahan caesarean, sebaik-baiknya pastikan darah nifas telah kering dan mandi hadas besar telah dilakukan. Bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman bersalin secara pembedahan, sebenarnya bersalin secara pemdedahan sama seperti bersalin normal iaitu akan ada darah nifas selepas bersalin.

Sewajar dengan hukum Islam, seseorang wanita hendaklah mandi hadas besar apabila darah nifas telah kering sebelum melakukan hubungan kelamin. Luka caesarean biasanya akan sembuh satu bulan selepas bersalin caesarean. Jadi, sebaik-baiknya lakukan hubungan kelamin selepas dua bulan.

Berhubung pertanyaan sama ada hubungan kelamin selepas bersalin caesarean akan sama seperti sebelum mengandung, ia bergantung kepada faktor-faktor seperti perubahan hormon. 

Biasanya, bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi akan menghadapi sedikit masalah disebabkan pengeluaran cecair (pelincir) di faraj yang berkurangan kerana badan lebih fokus kepada pengeluaran hormon prolaktin untuk susu ibu. 

Keletihan menguruskan bayi kecil kadang-kadang meletihkan terutama bagi bayi yang asyik meragam di waktu malam menyebabkan ada ibu-ibu yang tidak cukup tidur. Jadi, sudah tentu hubungan kelamin anda mungkin kurang sama seperti sebelum anda mengandung.

Selain itu, pasti ada yang merasa was-was dan takut luka caesarean akan terbuka atau terasa sakit. Jika luka caesarean telah lebih daripada dua bulan, biasanya tiada masalah. Tetapi jika memang terasa sakit sewaktu hubungan kelamin, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Panduan Filem: Riviu filem Godzilla 2014

Lebih sedekad lalu, jenama Godzilla memberi impak hebat tetapi pengarah dan pasukan produksi gagal menggarapnya lebih serius pada 1998.

Kini muncul Godzilla versi 2014 yang diharap dapat menebus kegagalan lalu. Versi baru kali ini bermula dengan pengenalan kepada siri gegaran misteri di pusat nuklear Jepun pada 1999 yang mengorbankan isteri saintis, Dr Joe Brody.

Lima belas tahun selepas itu, penonton diperkenalkan dengan watak anaknya Ford, pakar pemusnah bom yang mempunyai isteri dan anak lelaki.

Kemudian Ford dapat tahu bapanya ditangkap lantas Ford terpaksa terbang ke Jepun membantu ayahnya. Malangnya, Ford juga terperangkap dalam konspirasi kerajaan membabitkan kewujudan raksasa digelar Godzilla.

Jika anda mengharapkan aksi-nya seperti pertarungan dahsyat antara robot dan raksasa dalam filem Pasific Rim, anda salah. Pe-ngarah, Gareth Edwards menyeimbangkan kekuatan raksasa Godzilla dan usaha dilakukan manusia bagi mengatasi masalah dunia itu sungguh halus dan menarik perhatian.

Godzilla versi Edwards tidak ditonjolkan sepenuhnya dan hanya ‘sipi-sipi’, sama seperti karya asal Godzilla dalam bentuk hitam putih pada 1954.

Raksasa tidak ditunjukkan sepenuhnya tetapi debaran, ketakutan, keterujaan dan momen menarik itu diberi perhatian sepenuhnya.

Godzilla kali ini dikayakan de-ngan imej seni visual menarik dan ia memberi paparan yang jarang dilihat pada imej raksasa ciptaan abad ini.

Fizikal Godzilla versi ini lebih seram dan menakutkan berbanding Godzilla versi 1998 (lebih kepada klon dinosaur T-Rex berbanding raksasa sebenar) atau raksasa Kaiju versi Pasific Rim. Ditambah dengan sistem bunyi hebat di pawagam terpilih, Godzilla kali ini memang dahsyat!

Malangnya dari segi lakonan, barisan pelakon hebat seperti Ken Watanabe, Sally Hawkins, David Strathairn dan Juliette Binoche tidak diberi ruang luas untuk memberi lakonan padu.

Walaupun sekadar pelakon sokongan, pelakon baru seperti Aaron Taylor-Johnson dan Elizabeth Olsen juga tidak menonjolkan keserasian menarik.

Apa sekalipun, itu bukan isu besar bagi filem yang memang dinanti-nantikan peminat Godzilla! Yang penting, penonton Godzilla 1998 atau 1954 pasti puas hati dengan Godzilla kali ini.

Panduan Keselamatan: Berhati-hati Dengan 'Tunjuk, Henti & Samun'

CRIME ALERT: Tunjuk, Henti & Samun

Baru-baru ini telah dikesan taktik penjenayah yang cuba melakukan rompakan terhadap pemandu kereta yang sedang memandu di jalan raya.

Taktik yang diguna pakai penjenayah seperti berikut:

• Menunggang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki dan menunjukkan tanda isyarat tangan ke arah tayar bahagian kiri atau kanan.

• Sekiranya pemandu tidak berhenti pada waktu itu, datang sebuah motosikal lain (kedua) dinaiki dua lelaki menunjukkan perkara yang sama bagi mewujudkan rasa khuatir dalam diri pemandu supaya memberhentikan kenderaan ke bahu jalan.

• Apabila pemandu memberhentikan kenderaan, suspek akan turun dari motosikal dan menuju ke bahagian kiri atau kanan tayar dan meminta pemandu melihat kerosakan yang dialami.

• Pada masa yang sama, motosikal yang dinaiki dua lelaki yang pertama turut memberhentikan motosikal mereka tidak jauh dari kenderaan mangsa.

• Apabila mangsa keluar dari kenderaan atau menurunkan cermin kereta. Suspek dari motosikal pertama akan bertindak melarikan kereta mangsa atau memaksa mangsa untuk keluar dari kenderaan sebelum melarikan kereta.

NASIHAT

1. Sekiranya anda berada dalam keadaan yang dinyatakan terus memandu ke balai polis berdekatan atau kawasan yang ramai orang atau berhenti di kawasan ‘safety point’ antaranya 7-Eleven, Pos Malaysia dan stesen minyak Petron.

2. Tidak panik dan kenal pasti nombor kenderaan yang dinaiki suspek seperti (jenis motosikal, warna, nombor pendaftaran, bangsa, pakaian dan jantina).

3. Memastikan nombor telefon bilik gerakan mana-mana balai polis berdekatan.

4. Membunyikan hon kereta beberapa kali untuk menarik perhatian penggunakan jalan raya sekiranya berada dalam situasi kecemasan.

5. Jangan menggadai nyawa sekiranya berlaku pergelutan dengan suspek untuk mempertahankan harta benda.

Panduan Mandikan Bayi Baru Lahir Anjuran Islam

Bayi baru lahir adalah khalifah Allah yang baru menjengah dunia selepas sembilan bulan tinggal di alam rahim. Justeru ibu bapa yang beragama Islam mestilah menyambut kelahirannya mengikut cara yang dianjurkan oleh Islam.

Antara yang mungkin kita semua tidak beri perhatian adalah tatacara memandikan bayi baru lahir iaitu dari usia sehari hingga 40 hari. Dalam tempoh ini, kaedah mandian memainkan peranan penting dalam membentuk aliran darah dan pembentukan tulang yang baik.

1. Seeloknya mandikan bayi pada waktu dhuha, kerana pada waktu tersebut fisiologi kitaran darah dan degupan jantung bayi dalam keadaan tenang. Gunakan air yang suam.

2. Siraman pertama perlu dimulakan ke atas belakangnya secara perlahan-lahan, kemudian baru disiramkan ke kaki, seterusnya naik ke bahagian punggungnya.

3. Belaian dan gosokan lembut memainkan peranan penting semasa memandikan bayi. Ini akan membuatkan pengaliran darah bayi lancar dan baik. Siraman disertakan dengan sapuan sabun yang sesuai untuk bayi.

4. Seterusnya siram dari belakang hingga ke kepala. Siraman di kepala dilakukan secara perlahan, supaya air tidak mengalir masuk ke dalam lubang telinga. Semasa menyiramkan air di belakang kepala ke bahagian hadapan dahi, tangan digunakan untuk menggosok dahi.

5. Sebaiknya tugas memandikan bayi dilakukan oleh bapa. Sambil memandikan, hati berzikir Ya Latif, Ya Hadi.

6. Pastikan siraman tidak dilakukan pada muka bayi kerana ia boleh melemaskan bayi serta menyebabkan lubang hidungnya lembap seterusnya mudah selesema atau jangkitan kuman.

7. Siraman yang terakhir, dilakukan ke atas dada seterusnya hingga ke bawah. Tidak digalakkan menyapu sabun pada bahagian hadapan tubuh bayi usia ini, kerana bimbang air dan sabun menyebabkan bahagian pusatnya lembap dan seterusnya melambatkan proses ‘gugur’ tali pusat.

8. Selepas selesai mandi, lapkan seluruh badan bayi dengan tuala yang bersih. Cara mengelap dimulakan dari kepala kerana kelewatan mengelap bahagian kepala boleh menyebabkan kepala dan ubun-ubun bayi basah serta membawa masalah paru-paru lemah.

Panduan Kesihatan: 10 Mitos Barah Payudara

1. Saya terlalu muda untuk mendapat kanser payudara!

Tidak dinafikan semakin meningkat usia maka risiko mendapat kanser di kalangan wanita juga akan meningkat. Tetapi kanser payudara boleh terjadi seawal usia 20-an. Lebih membimbangkan apabila kanser payudara di kalangan wanita muda adalah lebih agresif dan sukar dirawat. Kanser juga lebih cepat merebak dan bertambah dari tahap 1 ke tahap 4.

2. Petanda kanser payudara hanyalah benjolan

Kehadiran ketulan atau benjolan merupakan salah satu petanda kanser payudara, dan ia juga mungkin merujuk kepada kehadiran benigna (sejenis tumor yang tidak merebak). Namun selain kemunculan benjolan, terdapat 11 petanda lain yang perlu diambil perhatian dan antaranya termasuklah kerutan, pengerasan, keluar cairan dan sebagainya. Oleh itu, dengan menjalani mamogram, ia boleh mengesan kehadiran kanser sebelum apa-apa gejala dirasai atau dilihat sama sekali.

3. Hanya wanita yang mengalami kanser payudara

Walaupun statistik menunjukkan kanser payudara adalah lebih dominan di kalangan wanita, namun golongan lelaki tidak terkecuali untuk turut diserang kanser payudara. Di kalangan lelaki, kanser payudara sering dikaitkan dengan sejarah keluarga dan faktor genetik.

4.  Risiko diserang kanser payudara hanya bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga

Hanya 5 hingga 10 peratus daripada semua jenis kanser payudara adalah diwarisi daripada keturunan disebabkan oleh perubahan dalam gen. Perubahan genetik seperti ini lebih kerap berlaku kepada sekumpulan etnik tertentu seperti kaum Ashkenazi (Eropah tengah dan timur) dan kaum Norwegian dan Icelandic. Ini adalah kerana mereka berkahwin dengan keluarga yang terdekat dan berkongsi salasilah keturunan yang sama sejak awal generasi. Maka perubahan pada genetik akan berlaku dengan lebih kerap dan mudah.

5.  Diet tidak mempengaruhi berlakunya kanser!

Para penyelidik bersetuju bahawa tidak ada makanan tunggal yang terbukti secara langsung menyebabkan kanser payudara. Namun, pengambilan makanan tertentu secara berlebihan boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser payudara. American Cancer Society mendapati kafein boleh meningkatkan risiko tumor payudara atau juga dikenali sebagai benjolan fibrokistik.

6.  Mamogram itu menyakitkan!

Mamogram sememangnya tidak selesa untuk dilakukan, namun kebanyakkan wanita yang menjalani mamogram mengatakan ia tidak begitu menyakitkan. Lebih tinggi tekanan yang dikenakan, maka akan bertambah ketidakselesaan yang ditanggung oleh pesakit. Namun, perlu diingat bahawa semakin tinggi tekanan, maka imej yang akan dirakam adalah lebih jelas dan memudahkan petugas radiologi untuk menaakul.

7.  Breast-self examination (BSE) tidak membantu!

Ramai wanita yang enggan dan malas untuk membuat pemeriksaan bulanan payudara, malah tidak mengejutkan jika terdapat segelintir golongan yang tidak mengetahui langkah dan prosedur yang betul untuk melakukannya. Ini amatlah merugikan kerana pemeriksaan ini bukan sahaja amat mudah untuk dilakukan, tetapi juga amat membantu untuk mengesan tanda-tanda awal dan ianya boleh menyelamatkan nyawa.

8.  Berat badan dan kanser payudara tiada kaitan

Aktiviti senaman bukan sahaja dapat mengawal berat badan malah boleh meningkatkan kecergasan kardio-pulmonari dan pengaliran darah. Berat badan yang berlebihan akan mengundang pelbagai masalah kepada kesihatan dan menurut Cancer Research UK, obesiti mempunyai kaitan yang erat dengan kanser payudara. Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan dianjurkan untuk kerap melakukan senaman dan mengamalkan diet yang seimbang.

9. Buah-buahan dan sayuran hanya untuk meredakan sembelit

Buah-buahan dan sayuran bukan sahaja baik untuk penghadaman dan perkumuhan malah memberi pelbagai faedah kepada kesihatan. Masyarakat yang kurang makan buah-buahan dan sayuran akan menghadapi dua kali ganda risiko untuk diserang kanser termasuklah kanser payudara. Rahsianya adalah kerana buah-buahan dan sayuran kaya dengan kandungan fitokimia yang bersifat pelindung dan antioksidan semulajadi yang bukan sahaja melambatkan penuaaan malah menggalakkan pertumbuhan sel-sel yang sihat dan menyingkirkan sel-sel rosak penggalak kanser.

10. Rawatan alternatif tidak memberikan kesan positif

Salah satu kaedah alternatif yang semakin berkembang pesat adalah dengan menggunakan Laetrile atau Vitamin B17. Vitamin B17 terkenal mempunyai sifat anti-neoplastik yang kuat, iaitu mampu menyerang dan membunuh sel-sel kanser. Vitamin B17 diekstrak daripada teras biji aprikot dan ia boleh dikapsulkan, dijadikan tablet, atau diberikan dalam bentuk suntikan. Apabila Vitamin B17 masuk ke dalam badan kita, ia akan terurai kepada elemen sianida dan bezaldehyde oleh enzim Beta-glucosidase yang hanya terdapat pada sel-sel kanser. Kedua-dua elemen ini akan bertindak menyerang dan membunuh sel-sel kanser dalam badan pesakit.

Sumber : Kesihatan@Utusan

Panduan Untuk Hentikan Tangisan Anak Secara Spontan


Ok..mungkin kaedah ini tidak sesuai dipraktikan kepada semua anak-anak.

Hanya untuk berkongsi bersama pembaca sekalian, mungkin ianya sekadar untuk ukirkan senyuman pada hari ini.

Video di bawah menyaksikan bagaiamana seorang bapa menghentikan tangisan anaknya secara bertanyakan soalan yang spontan, dan ianya berkesan!

Panduan Kesihatan: Bahaya Panadol Dan Tips Menggantikannya

Jangan ambil panadol actifast atau soluble jika anda rasa deman atau sakit kepala. Pengambilan panadol tersebut boleh memudaratkan kesihatan anda pada masa akan datang.

“Suami saya bekerja sebagai Jurutera IT di sebuah hospital, di mana pihak hospital sedang menyiapkan pengkalan data untuk pesakitnya. Dia mengenali rapat doktor tersebut. Doktor memberitahu suami saya, apabila mengalami sakit kepala, mereka sendiri tidak sanggup mengambil Panadol atau Paracetamol. Sebaliknya, mereka akan mencari ubatan herba Cina atau mencari altenatif lain.

Ini kerana Panadol adalah bertoksik kepada tubuh kita . Ia merosakkan organ hati .

Menurut doktor tersebut, Panadol akan tinggal di dalam tubuh selama sekurang-kurangnya 5 tahun .

Menurutnya lagi, pernah berlaku seorang pramugari menelan terlalu banyak Panadol semasa kedatangan haid kerana tugasnya perlu berdiri sepanjang masa penerbangan. Dia kini baru berumur 30-an tetapi sudah perlu menjalani rawatan buah pinggang (dialisis) setiap bulan.
Alternative Treatment ( Tips )

Seperti kata doktor tersebut, sakit kepala disebabkan ketidak-seimbangan elektron/ion di dalam sel otak .

Sebagai rawatan alternatif, beliau mencadangkan membeli sebotol atau 2 botol minuman isotonik, campurkan dengan air minuman pada kadar 1:1 atau 1:2. Mudahnya, secawan isotonik dengan 2 cawan air minuman.

Saya dan suami pernah mencuba kaedah ini dan mendapati ia berkesan. Kaedah lain ialah merendam kaki ke dalam besin yang mengandungi air suam. Ia akan memberi tekanan darah menurun dari kepala anda.

Panadol adalah sejenis “pain killer”, semakin banyak anda mengambilnya, semakin lama semakin kurang kesannya kepada anda. Bererti anda perlukan dos yang lebih lagi apabila ia kurang berkesan.

Kita semua akan jatuh sakit apabila usia kita semakin meningkat. Untuk wanita, mereka akan melalui pengalaman melahirkan zuriat. Bayangkan mereka akan diberi dos yang kuat apabila terpaksa melalui proses beranak melalui pembedahan. Jika anda terlalu banyak mengambil Panadol atau Paracetamol sepanjang hidup anda, seperti mereka yang ada migrain, ia akan memberi kesan sifar terhadap kesakitan yang anda alami dan anda memerlukan ubat yang lebih kuat lagi untuk mengurangkan rasa sakit. Adakah anda sanggup diberi dadah yang kuat seperti morfin?

Hargailah kehidupan anda.

Fikir sebelum mudah memasukkan ubat yang “biasa” ini ke dalam perut anda.

Panduan Kesihatan: 10 Makanan Malaysia Paling Menggemukkan

Kita semua memang sukai makanan. Lagi-lagi makanan lazat Malaysia seperti nasi lemak and roti canai. Tapi tahukah kita kandungan setiap makanan yang dimakan – kalori, nutrisi, lemak, dan segala yang terkandung dalam makanan tersebut? Percayakah anda, ada beberapa jenis makanan yang boleh menyebabkan kita gemuk?

1. Nasi Lemak.
Kegemaran setiap rakyat Malaysia. Hidangan nasi lemak (mengandungi karbohidrat,protein,lemak) lebih kurang 390 kalori tak termasuk sambal, telur rebus, ikan bilis dan kekacang. Hidangan lengkap lebih kurang 450-500 kalori. Kalau anda makan nasi lemak bertambah dan kadang kadang ada ayam goreng (240 kalori), sambal sotong(170 kalori) atau lauk yang lain, rasa rasa menggemukkan tak?

Fakta: Nasi lemak tidak berkolesterol! Tak percaya? Baca di sini

2. Roti Canai.
Paling senang, paling cepat. Siapa yang tak suka kan? Satu keping roti canai bersamaan dengan 300 kalori. Kalau anda makan dua keping dah 600 kalori, itu baru hidangan sarapan pagi, lunch, dinner dan snek diantaranya anda nak makan apa? Bayangkan kalau berlari di treadmill atau jogging, kenalah berlari dalam 90min barulah bakar 600 kalori.

… bayangkan kalau berlari di treadmill atau jogging, kenalah berlari dalam 90min barulah bakar 600 kalori…

3. Nasi Goreng.
Biasanya satu pinggan dalam 630 kalori. Kerana nasi tersebut digoreng, ditambah pula dengan ayam dan telur serta sedikit sayur, menjadikan nasi goreng kurang seimbang. Nilai kalori tinggi lebih kepada lemak dan karbohidrat. Kalau nak makan, cuba jangan lebih segenggam tangan.

4. Ais krim.

Ais krim memang sedap! Siapa tak nak. Lagi-lagi dengan cuaca di Malaysia yang panas 365 hari setahun. Tetapi ingat, ais krim tinggi lemak dan gula serta kalori – dua scoop ais krim pun dah 380 kalori. Macam mana tu?

5. Burger Ramly.

Sebenarnya bukanlah burger Ramly semata-mata. Burger memang tinggi kalori. Daging kisar tinggi nilai lemak. Satu hidangan burger biasanya lebih 475 kalori. Biasanya makan ada keju, sos cili, mayonis, kadang kadang special sikit ada telur. Agak agak berapa kalori?

Untuk rujukan burger Burger King. Lebih 1000kcal.

6. Mee kari.
Hidangan mee dengan sup kari,santan. Menyelerakan! Kalori lebih kurang 500. Kalau teringin juga, apa salahnya ganti dengan mee sup, baru 380 kalori.

7. Makanan bergoreng.

Rata-rata kebanyakan makanan bergoreng. Sekeping pisang goreng pun dah 170 kalori. Makanan seperti ini tak sesuai sebab digoreng mengunakan minyak (1g fat : 9 kalori) dan lagi-lagi kalau dipakai minyak yang sama. Jadi kalau boleh kurangkan makanan bergoreng, cari alternatif lain(rebus, panggang dll)

8. Susu Pekat Manis.

Susu penuh krim ini sememangnya kurang elok untuk anda! Kandungan lemak tinggi dan walaupun ia ada sumber kalsium, dinasihatkan menggantikannya dengan kurang kandungan lemak atau rendah lemak. Satu sudu susu pekat manis biasa mengandungi dalam 60kcal.

…Satu sudu susu pekat manis biasa mengandungi dalam 60kcal.

9. Roti Manis dan Donut.

Kadang kadang orang salah sangka roti tidak memberi kesan kegemukan apa apa. Tetapi roti manis seperti roti krim dan coklat memang tinggi dengan kandungan lemak dan karbohidrat. kalori. Boleh cuba roti wholemeal.

6 Donut mengandungi dalam 1200kcal.

… tahukah anda bahawa 1x donut biasa mengandungi 200kcal! Kalau makan separuh dozen dah 1200kcal!! …

10. Mayonis.

Suku cawan mayonis mengandungi 360 kalori (40g lemak). Memang kurang sihat jika anda penggemar mayonis yang tegar.

Jadi kurangkan!

Sebenarnya makanan yang disenaraikan ini tak menggemukkan pun, cuma bergantung kepada anda berapa banyak anda makan dan kuantiti yang diambil. Jika anda makan tanpa mengambil kira kalori, lemak lemak yang terkandung dalamnya, maka itu boleh consider makanan yang anda ambil itu menggemukkan diri anda sendiri.

Jadi anda harus kawal pemakanan dan tahu bagai mana sukatan kalori setiap hari.

Semoga berjaya!

Sumber : Kevin Zahri

Panduan Melancong Yang Murah Dan Puas

Bercuti di destinasi pilihan sememang­nya impian semua bakal pelancong. Namun, kerana kos percutian yang mahal, ramai yang terpaksa menunda ataupun membatalkan terus percutian yang sudah lama dirancang.

Bercuti tidak semesti­nya mahal. Apa yang penting, percutian itu dapat dinikmati, memberikan pengalaman baru, keakraban bersama keluarga dan menghilangkan tekanan.

Justeru, bagi anda yang inginkan percutian murah dan menarik, ikuti tip melancong minggu ini supaya anda boleh berjimat dan menikmati perjalanan yang menarik.

Cari maklumat


Ramai antara kita pergi melancong tetapi bingung apabila sampai di tempat tujuan. Hal ini terjadi kerana sebelum berangkat, kita tidak mencari maklumat mengenai kota atau negara yang akan dikunjungi, padahal, tempat-tempat menarik pasti boleh didapati di Internet atau di buku-buku pelancongan.

Mencari maklumat menerusi Internet mengenai destinasi yang dituju, pakej berkaitan dan sebagainya lebih awal sangat penting kerana anda boleh mengetahui apakah ada diskaun bermula dari tiket penerbangan atau hotel.

Anda juga boleh mencari tempat membeli-belah terutama barangan cenderamata di pasar tradisional dan sebagainya.

Membawa Wang

Kehabisan wang ketika bercuti? Perkara sebegini sememangnya sering berlaku dan memberikan pelbagai masalah. Justeru, ja­ngan sampai anda kehabisan wang saat di perjalanan.

Sebelum berangkat ke destinasi yang dituju, pastikan anda memiliki wang yang cukup agar tidak mendatangkan masalah dan membuat­kan anda bingung sepanjang percutian.

Wang yang dibawa saat bercuti bukanlah untuk dibelanjakan semuanya.

Anda harus tetap mengawasi pengeluaran dengan mencatatnya. Sekali gus menahan diri dan bertanggungjawab atas apa yang sudah dibelanjakan.

Tiket Penerbangan

Pastikan anda mendapat­kan maklumat percutian selengkap mungkin. Dengan itu, anda sudah boleh memeriksa harga tiket murah atau harga promosi.

Jika anda belum yakin dengan harga­nya, periksa lagi setiap beberapa hari. Siapa tahu ada penurunan harga. Saat harga turun, segera membuat tempahan tiket penerbangan.

Jika tarikh percutian anda masih lama, jangan lupa buat catatan. Takut-takut terlupa, anda juga yang rugi.

Pilih pengangkutan yang menyenangkan

Melakukan perjalanan dengan pesawat memang lebih cepat, namun perbelanjaan yang harus dikeluarkan lebih mahal.

Justeru, jika destinasi yang dituju boleh dikunjungi dengan menggunakan kereta, ia pastinya pilihan yang lebih menyenangkan dan sudah pasti lebih murah.

Selama di perjalanan, anda boleh menikmati pemandangan sekali gus menambahkan pengetahuan mengenai destinasi yang dituju serta kawasan sekitarnya.

Bukan Musim Cuti

Belanja perjalanan akan lebih murah jika bercuti ketika bukan musim cuti atau di awal dan akhir musim itu. Selain itu, jika anda ­ingin menikmati suasana yang tidak terlalu riuh kerana ramai orang, ini waktu yang tepat.

Bercuti ketika musim cuti membuatkan tempat-tempat pelancongan dipenuhi ramai orang. Belanja ketika itu juga lebih tinggi kerana ba­nyak permintaan.

Layanan Terbaik

Selain mencari hotel yang bagus, lihat juga taraf biliknya. Siapa tahu ada penawaran khusus seperti penginapan dua malam akan mendapatkan satu malam percuma atau potongan harga.

Anda juga mungkin boleh mendapatkan layanan spa yang terbaik bagi yang sudah memesan bilik pe­nginapan.

Pilihan yang tepat pastinya menjadikan percutian anda akan jauh lebih menarik.

Sewa Kereta

Sebelum bercuti, ada baiknya anda mencari maklumat terlebih dahulu mengenai destinasi yang akan dikunjungi.

Salah satunya adalah pengangkutannya terutama dari lapangan terbang ke hotel.
Siapa tahu ada bas yang melalui hotel tempat yang anda menginap. jadi tidak perlu mengeluarkan belanja mahal untuk teksi.

Untuk lebih jimat, anda boleh menyewa kereta selama bercuti. Perkhidmatan sewa kereta sememangnya banyak di mana-mana destinasi pelancong dan yang pasti turut menyediakan promosi harga murah.

Anda bebas memilih dengan meminta pendapat dari pihak hotel atau rakan yang pernah mengunjung destinasi yang anda kunjungi itu.

Cermat Memilih

Pilihlah tempat bercuti yang benar-benar unik, bagus dan ada ciri khasnya. Jangan sampai anda pergi ke tempat yang tidak menarik, kurang diminati orang dan belanjanya mahal.

Anda mungkin saja tidak menikmati, malah kecewa dengan destinasi yang dikunjungi itu.

Percutian Menarik

Tidak perlu memaksa diri bercuti di luar negara. Masih banyak tempat-tempat menarik di negara ini yang mengagumkan dan mungkin lebih menarik dengan apa yang ditawarkan di luar negara.

Bercuti di dalam negeri tempat anda tinggal juga pasti menarik dan memberikan percutian yang me­nyeronokkan.

Oleh itu, di mana juga destinasinya, dekat atau jauh, kuncinya ha­nya satu. Percutian Menarik.

Selamat bercuti.

Panduan Membaca Al-Fatihah Elak Solat Tidak Sah

Tahukah anda, semasa solat, wajib kita membaca Al-Fatihah dengan sebutan makhraj yang betul, tajwid yang betul, tartil yang betul, agar solat itu sah. Jika tidak, solat itu tidak sah. Selain rukun qauli yang wajib dipenuhi, iaitu wajib membacanya secara berlafaz, tidak sah solat jika dibaca berbisik, suara angin, atau dalam hati, sekurang2nya kena didengari oleh telinga sendiri, baru sah solat.

Pelik kenapa dah solat, tapi masih rasa tak sempurna, masih buat dosa berterusan, masih tak rasa tenang? Ini antara sebabnya. rasa solat sah, tapi sebenarnya tak sempurna.

Antara kebiasaan kesalahan yang dilakukan orang ramai:

1- Huruf Ba pada Bismillah tidak berbunyi. Nak sebut slow punya pasal, disebut "...Ismillah hirrohma nirrohim"

2- Huruf Hha pedas (ح) pada rahman dan rahim tidak disebut Hha pedas, hanya sebut haa biasa (haa simpul) (ه).

3- Tertukar pada BismilLAH, LAH tu dibaca Lam bertemu Hha pedas (ح), sedangkan Lam bertemu Haa simpul (ـه). *Ingat eja Allah ialah alif lam lam ha

4- huruf Ro baris atas disebut Raa yg sangat jelas aaaa nya. sebutannya Rohman, bukan rahman, rahman ni ejaan rumi je sebagai tanda ro tu baris di atas.

5- Huruf Alif tak disebut semasa baca ayat kedua. "...Lhamdulillah..."

6- Huruf Hha pedas (ح) pada alHAMdu hanya dibaca haa biasa/simpul (ه).

7- ..duLILLAH, tidak disabdukan LIL dengan LAH, hanya baca "Li-lah" sedangkan patutnya sabdu.

8- robbil 'AAlamin, huruf ain (ع) dibaca alif, 'aa jadi aa (ا).

9- Huruf ro tidak disabdukan pada aRRohmaaniRRohim. ramai orang baca "...a-rohmaani-rohim.." ini salah sesangat, sebab itu nama2 Allah. sepatutnya baca ARROHman dan ARROHim. Dan ramai tak baca huruf Hha pedas (ح) tu betul2 pada Ro mati bertemu Hha, cuma baca macam Haa biasa/simpul. ROHH tu macam Ro pedas. Rohhhhhh, pekatkan hhhh tu.

10- Huruf mim pada MAAlikiyau tidak dibaca dua harakat, ramai yg baca 1 harakat "...malikiyau...". Salah.

11- Tidak mensabdukan huruf Dal pada miDDiin, sedangkan patutnya bersabdu.

12- Ni ramai selalu sangat salah, tidak mensabdukan huruf Yaa pada iYYAkanaq buduwaiYYaa. sebutan yang betul ialah IY-YA, bukan I-YA atau EE-YA. Kena tekan sikit kat IY dan panjangnya dua harakat, bukan satu harakat.

13- huruf ain pada iyyakanAQ hanya disebut KANAK. salah. nun mati bertemu ain ya, bukan bertemu kaf.

14- Selalu baca huruf dal dan wau pada buDUWA dengan 2 harakat, sedangkan 1 harakat sahaja. yg betul "...buduwaiyyaa...", bukan "...buDUU waiyya..." atau "....budu WAA iyya..."

15- Huruf ain tak disebut dengan betul masa kanasta'IN. ramai sebut ia sebagai alif, ka nas ta in, ini salah.

16- Pada Ihdinaussiro..., ramai baca nun mati bertemu sin, padahal nun mati bertemu sod. auss pada sebutan NAUS tu kena tekan sikit. Kalau kitab rumi lama, pengarang eja ia sebagai Ihdinaush-shiro. bukan suruh baca naush mati dengan syin, tapi supaya ditekankan sod tu.

17- Sirootolmustaqim.. ramai baca huruf Ro tu hanya 1 harakat, sepatutnya 2 harakat.

18- ...Mustaqim, patutnya QIM, bukan KIM, sebab huruf tu huruf Qof bukan Kaf.

19- Sirootollazi... ramai sebut SI tu sebagai huruf sin, bukan huruf sod, padahal SSI tu patut ditekankan sikit sebab ia huruf sod. Huruf Ro patut panjang 2 harakat, ramai baca 1 harakat. laZI, huruf tu huruf dzai, bukan zzai, huruf dzai lembut bunyinya, di hujung lidah kita di belakang gigi.

20- Na-an'am... ramai sebut AN tu huruf AIN, padahal ianya huruf alif, manakala ada juga sebut 'AM tu huruf alif, padahal ianya huruf ain. ada juga yg sebut ANA'AM. ni salah. jika hadapi kesulitan, dah usaha betulkan masih tak dapat juga, jangan begitu jelas sangat bunyinya.

21- Suka berhenti pada Ghairilmaghduu bi'alaihim. Tak boleh berhenti situ. kalau nak berhenti, henti pada Na an'am ta'alaihim. Pastu sambung nafas baru pada Ghairil maghdu...

22- Pada sebutan yg sama, tapi tak sebut huruf Gha, apabila mim mati bertemu Gha, sepatutnya maghdu, disebut makdu atau maqdu.

23- bi'A laihim, ain disebut alif sedangkan ia huruf ain.

24- Waladdoollin. pada Ladd tu disebut Lam mati bertemu dal, sedangkan ia bertemu dod. Kena tekan sikit pada dod tu. Lebih kurang gini ruminya, "Walaudd". kemudian DOOOLlin tak sampai 6 harakat, sedangkan wajib baca 6 harakat pada huruf dal bertemu sabdu Lam.

dan banyak lagi. ni kesalahan2 biasa. Harap anda ambil iktibar, perbaiki bacaan al-fatihah agar betul dan agar solat sah. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Jika tak dapat mencegah kita, there must be something wrong dengan solat kita.

Wallahu ta'ala a'lam.